SEOUL – Pemimpin Parti Liberal, Moon Jae-in yang mengangkat sumpah jawatan Presiden Korea Selatan, hari ini, bakal berdepan tugas besar untuk mengepalai negara yang kini dilanda ketegangan geopolitik.
Jae-in, 64, juga dijangka segera mengumumkan anggota utama Kabinet dan melantik kakitangan pejabat presiden, seawal hari ini, bagi mengakhiri kekosongan kuasa pemerintahan.
Ia berikutan penyingkiran bekas Presiden Park Geun-hye atas tuduhan rasuah, pada Mac lalu. Jae-in yang juga bekas peguam hak asasi manusia, sebaliknya mula mengetuai parti sejak lima tahun lalu
Antara cabaran pertama sebagai Presiden Korea Selatan, Jae -in berdepan dengan ancaman peperangan dengan Korea Utara, selain perlu berusaha meredakan konflik perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Malah, pentadbirannya perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan ketegangan dengan China, berikutan penempatan sistem pertahanan antisenjata di Korea Selatan bagi mencegah ancaman serangan senjata Pyongyang.
Selain itu, Jae-in perlu menyatukan semula rakyat dan menangani perpecahan dalam kalangan pengundi, susulan skandal rasuah membabitkan pemimpin negara itu.
“Saya akan mewujudkan sebuah negara yang adil, bersatu padu. Saya akan menjadi presiden yang berkhidmat untuk semua, termasuk mereka yang tidak menyokong saya,” kata Jae-in.
Sementara itu, keputusan rasmi menunjukkan Jae-in meraih kemenangan mutlak selepas penduduk yang keluar mengundi mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh 2o tahun, waima dalam keadaan tidak menentu di Korea.
Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan, Jae-in berjaya meraih 41.1 peratus undi berbanding calon Parti Konservatif, Hong Joon-pyo (24 peratus) dan calon haluan tengah, Ahn Cheol-soo (21.4 peratus). – REUTERS