SEBAGAI ‘senior’ dalam bidang hiburan, mereka pastinya akan menjadi sumber rujukan kepada pendatang baharu yang sedang mula mencipta nama dalam industri seni.
Bagi pelakon berbakat besar, Nabila Huda meminta supaya barisan pelakon baharu masa kini agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan populariti mereka.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi sudah pun melalui zaman ‘jatuh bangun’ sebagai anak seni selama penglibatannya yang hampir 16 tahun.
“Saya bermula dari bawah untuk sampai ke tahap ini dan melalui perjalanan berliku sebagai anak seni.
“Bila tengok pelakon baharu yang terlalu berbangga dan menunjuk dengan populariti segera yang mereka terima, pesan saya berhati-hatilah.
“Sekarang adalah waktu mengembangkan bakat dan karier, kutip lebih banyak pengalaman dan jangan cepat seronok dengan apa yang dicapai,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Dalam masa yang sama, Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil turut memberitahu bahawa terdapat beberapa pelakon baharu yang meminta dia untuk berkongsi ilmu mengenai insustri sendiir.
“Ada yang bertanya kepada saya mengenai ilmu lakonan dan berminat untuk mengetahui tentang industri seni. Cara itu saya suka sebab kita boleh berkongsi pandangan dan idea,” ujarnya.
Selepas penat menjayakan drama Dendam Aurora sebanyak 100 episod, kini Nabila mahu berehat seketika daripada menerima mana-mana tawaran berlakon yang memerlukan masa yang lama untuk penggambaran.
“Habis sahaja shooting drama tersebut, saya fikir nak berehat dahulu daripada mengambil tawaran lakonan drama bersiri yang memerlukan komitmen masa yang panjang.
“Alhamdulillah, penggambaran sudah selesai dan sekarang nak bercuti bersama keluarga dulu,”tambah Nabila yang kini sedang aktif mempromosikan filem lakonanya, Rempit-Rempit Langit yang bakal ditayangkan 23 November ini.
Filem Rempit-Rempit Sampai Langit itu merupakan arahan Silver dan diterbitkan oleh Suhan Movies yang turut dibintangi oleh Ajak Shiro, Reen Rahim, Cristina Suzanne dan Tauke Jambu.
Pada bulan lalu, Nabila telah dikejarkan ke sebuah hospital di ibu negara kerana mengalami kesakitan pada bahagian peha.
Kecederaan itu kemungkinan berpunca daripada insiden dia terjatuh ketika sedang mendaki Gunung Annapurna di Nepal, September lalu. – MYNEWSHUB.CC/AH