Najib Dibenarkan Lawat Anak Di Singapura

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak dibenarkan ke Singapura untuk bersama anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangkakan akan melahirkan anak kedua pada awal November.

Ini berikutan keputusan tiga hakim yang bersidang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk sementara waktu dipulangkan semula pasport antarabangsanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Abu Bakar Jais.

“Mahkamah mendapati ada alasan munasabah permohonan ini dibuat. Mahkamah membenarkan permohonan ini dan pasport akan dikembalikan,” kata Hakim Kamaludin.

Hakim Kamaludin: Bila tarikh luput pasport Datuk Seri Najib?

Peguam Bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya menyatakan yang beliau tidak melihat pasportnya untuk sekian lama, tetapi menjangkakan yang pasport itu akan luput tidak lama lagi.

Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan rayuan bahawa anak guamnya telah membuat permohonan untuk pasport antarabangsanya dipulangkan kepadanya secara sementara bermula 20 Oktober atau secepat mungkin, sehingga 22 November 2021.

Muhammad Shafee menyatakan yang anak guamnya perlu mendapatkan pasportnya lebih awal bagi membolehkan beliau memperbaharuinya sebelum berlepas ke Singapura pada 3 November kerana beliau juga perlu membahaskan di Parlimen (Belanjawan 2022) pada 2 November.

“Beliau akan terbang pada 3 November dan beliau perlu menjalani kuarantin kendiri untuk 10 hari di Singapura. Beliau akan kembali ke Kuala Lumpur pada 20 November (Sabtu). Pasportnya akan dipulangkan semula ke mahkamah oleh saya atau peguam saya pada 22 November (Isnin), kerana anak guam saya akan menjalani kuarantin kendiri sebaik tiba dari Singapura,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari tidak membuat sebarang bantahan mengenai perkara itu. Najib hadir ke pendengaran hari ini.

Pada 14 Oktober Najib telah memfailkan notis usul menerusi Tetuan Shafee & Co bagi membolehkan beliau melawat Nooryana Najwa, yang pada ketika ini di Singapura bersama suami dan anak perempuan berusia empat tahun.

Dalam notis usul itu Najib memohon untuk pasportnya diserahkan kepadanya sebelum 20 Oktober bagi membolehkan beliau memperbaharuinya sebelum berlepas ke Singapura pada 3 November.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, anak perempuannya itu kini menetap di Singapura bersama suami dan anak sulungnya yang berusia empat tahun, tidak mempunyai ahli keluarga lain di sana untuk membantu dan menemaninya sepanjang tempoh mengandung sehingga kelahiran.

Sebagai seorang bapa, Najib berkata, beliau bertanggungjawab untuk memastikan Nooryana dijaga rapi dan mendapat sokongan serta rawatan yang diperlukan memandangkan beliau pernah mengalami komplikasi yang serius semasa melahirkan anak pertamanya.

Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang kini sedang membela diri bagi pertuduhan rasuah bagi mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan yang sama. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Ibu Bapa Digesa Waspada Aktiviti Air Di Musim Tengkujuh

KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa lebih berwaspada ketika membawa keluarga melakukan aktiviti air pada...

Landskap Pendidikan Tinggi Berhadapan Rempuhan Teknologi Dan IR 4.0

TANJUNG MALIM: Landskap pendidikan tinggi dalam negara mengalami perubahan yang drastik susulan ‘rempuhan’ teknologi...

Petugas Parlimen Meninggal Dunia Akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Pejabat Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengesahkan satu kes kematian melibatkan seorang...

Pameran Batu Permata Dan Barang Kemas Bertaraf Dunia Di KL

KUALA LUMPUR : Pameran Batu Permata dan Barang Kemas Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIGJE’ 22)...

GPS Mampu Menang Semua Kerusi Jika Bergerak Satu Pasukan

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu menang di semua 82 kerusi Dewan Undangan...

9,356 Pegawai, Anggota Polis Siap Siaga Hadapi PRN Sarawak

GOMBAK - Seramai 9,356 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia sudah bersiap siaga menghadapi...

Subsidi Haji Untuk Yang Layak Saja

KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) mencadangkan subsidi haji diperuntuk secara bersasar, bukan secara...