Latest Posts

Nestle Jadikan Rembau Pusat Kecemerlangan Produk Milo

PORT DICKSON — Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) akan menjadikan kilangnya di Chembong, Rembau, sebagai pusat kecemerlangan pembuatan produk Milo keluarannya yang terbesar di dunia.

Hasrat itu mendapat maklum balas daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang menyatakan kerajaan negeri berbesar hati dengan cadangan itu.

Katanya, ini adalah penghargaan kepada Negeri Sembilan dan berharap ia akan dapat menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan halal terbesar di dunia.

“Kita juga berharap pelaburan ini dapat menjadi satu mercu atau petanda bahawa Negeri Sembilan akan terkenal bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan tempatan tetapi juga akan dikenali dalam kalangan peminat Milo di seluruh dunia.

“Kita ucapkan ribuan terima kasih kepada Nestle yang memilih Negeri Sembilan sebagai kawasan untuk mengilangkan produk mereka,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Pertubuhan Sukarela Kebajikan Bagi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mohamad Hapil.

Aminuddin berkata, bagi menggalakkan pelabur asing dan tempatan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan, kerajaan negeri menyediakan dana minimum RM2 juta setahun untuk menyelia serta memastikan kemudahan di kawasan perindustrian sentiasa dijaga dengan baik.

Terdahulu, Nestle mengumumkan pelaburan lebih RM100 juta bagi mengembangkan kilang Milo miliknya di Chembong dan turut memindahkan semua operasi pengilangan Milo sedia ada dari kilang di Petaling Jaya ke Chembong.

Sementara itu, pada majlis hari ini, sebanyak 44 pusat PDK di negeri ini menerima geran pengurusan berjumlah RM2.7 juta bagi kegunaan dari September tahun ini hingga Februari tahun hadapan.

“Geran PDK adalah peruntukan yang disalurkan kerajaan bagi menggalakkan penyertaan serta pembabitan pertubuhan sukarela kebajikan dalam program dan khidmat kebajikan.

“Geran ini meliputi elaun khas Orang Kelainan Upaya di pusat dan rumah, saguhati penyelia serta petugas PDK, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja penyelia dan petugas PDK, sewa premis, utiliti, aktiviti juga peralatan,” katanya. — BERNAMA

Latest Posts

spot_imgspot_img

Don't Miss

Stay in touch

To be updated with all the latest news, offers and special announcements.