KUALA LUMPUR – Nestle Malaysia hari ini menyangkal dakwaan konon produk Milonya mengandungi kadar gula yang tinggi.

Sebaliknya kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal syarikat, Othman Md Yusoff, jika pengguna mengambil minuman itu mengikut cadangan hidangan, kandungan gula hanya sekitar enam peratus.

“Kandungan 40 peratus gula (setiap hidangan) yang dimaksudkan itu merujuk kepada serbuk yang belum dibancuh dengan air. Milo yang dibancuh hanya mengandungi sekitar enam peratus gula sahaja.

“Daripada enam peratus itu pula hanya tiga peratus sahaja gula yang ditambah manakala lagi tiga peratus adalah gula semula jadi daripada kandungan susu (laktosa) yang terdapat dalam serbuk Milo itu,” jelasnya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pengguna menyediakan minuman itu mengikut sukatan seperti yang dicadangkan pada bungkusan Milo iaitu lima sudu dicampur dengan 200 mililiter air maka minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan.

Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambahkan gula atau susu pekat dalam minuman itu, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video seorang aktivis media sosial yang tular baru-baru ini mendakwa kononnya produk Milo mengandungi kadar gula terlalu tinggi iaitu sebanyak 40 peratus bagi setiap hidangan. – BERNAMA