SEBAK… Penyanyi era 1980-an, Noorshila Amin mengangkat lima kali sumpah laknat tidak ambil duit atau menipu lapan rakan artis semasa Brunei International Festival 2017 baru-baru ini.
Lafaz sumpah tersebut dibuat artis berusia 52 tahun itu sekali gus menafikan dakwaan pelakon, Lana Nodin yang didakwa penyanyi tersebut sebagai salah seorang daripada pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.
Selain Noorshila, anaknya, Nurrul Admiena Norrizan juga tampil mengangkat sumpah laknat pada satu sidang media khas diadakan di Desa Hartamas, ibu negara pada Isnin bagi menafikan dakwaan palsu aktres tersebut.
Malah, beliau mengangkat sumpah laknat bahawa dia tidak pernah menyebut atau mengaitkan pengacara terkenal kelahiran Singapura, Roslan Shah semasa insiden pergaduhan bersama Lana di negara jiran itu dua minggu lalu.
Dalam sidang akhbar tersebut, Noorshila juga memaklumkan bahawa dia telah membuat satu laporan polis terhadap kenyataan Lana dan Roslan lewat malam semalam di Balai Polis Seremban 2, Negeri Sembilan.
“Kami sekeluarga tidak menuntut sebarang permohonan maaf daripada semua pihak. Apa yang kami mahu, mereka perlu mengangkat sumpah laknat juga sekiranya mereka yakin kenyataan mereka benar.
“Terbuka hati kalau mereka mahu berbincang. Justeru saya mengangkat sumpah laknat ini untuk membuktikan bahawa saya dan anak saya berada di pihak yang benar.
“Saya tidak pernah mengambil atau menipu rakan artis iaitu Encik Mimpi, Jasmin Ashraff, Ainina Ahmad B, Liza Abdullah, Sheila Mambo, Rozie Othman, Aiman Tino dan Zul Yahya,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, menjawab dakwaan pergaduhan sehingga menendang troli semasa di Singapura, Noorshila berkata, beliau hanyalah menguis troli tersebut dengan menggunakan kaki dan tiada barang pun yang jatuh.
“Saya bukan hipokrit. Roslan tiada di situ. Saya tidak tahu siapa dan bagaimana konon dakwaan pergaduhan itu sampai kepada Roslan. Gerai kami bersebelahan. Pada hari kejadian, troli Lana terletak di depan ruang gerai saya.
“Saya memang ada bertengkar dengan Lana di belakang gerai kami tetapi bukan berdasarkan hasad dengki. Saya berdepan dengan Lana dan dia mengaku ada menyebarkan fitnah konon saya curi duit tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, peguam yang juga anak Noorshila, Nurrul Nadia Norrizan memohon Roslan untuk berhenti daripada cuba mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah dan nama baik Noorshila.
Sidang media itu susulan tular penyebaran berita dan video dimuat naik oleh Roslan menerusi sosial media mengenai pertengkaran Noorshila dengan pelakon dan model Lana ketika di ekspo Singapura, minggu lalu.
Noorshila yang mengusahakan produk minuman mendakwa Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin yang turut terbabit dalam ekspo di Brunei dan Singapura menyebarkan fitnah itu kepada beberapa rakan artis lain.
“Pada ekspo di Singapura minggu lalu, saya didatangi rakan artis yang memberitahu Lana mendakwa konon saya menipu duit mereka sewaktu ekspo di Brunei. Ketika meminta penjelasan dari Lana, dia tidak menafikan cerita itu.
“Dia mengaku kerana dengar dari penganjur,” katanya. Menjelaskan isu pertengkaran dengan Lana, Noorshila menafikan menendang troli milik Lana sehingga menyebabkan barang bertaburan seperti didakwa aktres itu.
“Jadi, saya ‘sound‘ (tegur) penjaga gerai Lana supaya jangan berbuat demikian kerana tidak mahu terlanggar troli itu. Saya cuma menguis troli itu dan bukan menendangnya,” kata Noorshila yang kini berniaga dengan keluarganya.
Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Rambu Ramba itu berkata, dia dan anak perempuannya tampil membuat penjelasan bagi membersihkan imejnya kerana akan berurusan di Singapura.
“Ada netizen kata mahu mengelak daripada mengunjungi gerai saya nanti di sana. Saya tahu ada juga beberapa individu lain yang turut menyampaikan fitnah itu kepada artis lain. Saya sedih sebab berkawan baik dengan Roslan.
“Malah sering bertanyakan khabar ibunya. Sekarang, kami mungkin tidak seakrab seperti dulu. Saya terkilan dia keluar kenyataan sebegitu apatah lagi dia tiada di lokasi kejadian,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA