AKTOR dan pengacara terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan pengsan selepas menjadi tamu program bual bicara pagi TV AlHijrah, Asalamualaikum pagi tadi.
Selepas selesai siaran langsung di Studio TV AlHijrah di Pusat Islam, pada 10 pagi, Jalaluddin kelihatan sihat dan meminta diri untuk pulang. Beliau berjalan kaki ke parkir berdekatan Muzium Kesenian Islam, di luar kawasan Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Ketika tiba di kawasan parkir, Jalaluddin berasa sesak nafas dan segera menghubungi anaknya memberitahu, dia berasa tidak sihat.
Anaknya cuba menghubunginya semula, tetapi panggilan tidak berjawab. Bimbang akan keadaan ayahnya, anaknya menelefon ambulan dan memaklumkan keadaan kesihatan serta kedudukan ayahnya.
Ambulan tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan membawa Jalaluddin ke Hospital Kuala Lumpur.
Jalaluddin muncul sebagai tamu Assalamualaikum untuk berkongsi pengalaman membina keluarga bahagia serta tips ke arah kestabilan hubungan kekeluargaan. – MYNEWSHUB.CC