DHAKA – Umat Islam Bangladesh kembali menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-besaran menuntut patung dewi Yunani di hadapan bangunan Mahkamah Agung di sini segera dirobohkan.
Ribuan penyokong kumpulan gerakan Islam terkenal Bangladesh, Hefazat-e-Islam, turun ke jalan raya selepas solat Jumaat bagi desak kerajaan membuang patung berkenaan daripada pekarangan kompleks mahkamah tersebut.
Patung yang diadaptasi daripada watak Themis – dewi keadilan dalam sejarah Greek kuno dengan gaya lazim iaitu mata ditutup kain itu – mengundang banyak kontroversi panas sejak dirasmikan pada Disember tahun lalu.
Peserta penunjuk perasaan berpendapat meskipun patung tersebut diubah suai dengan mengenakan pakaian tradisional sari, namun pada dasarnya ia merupakan patung dari susuk idola, yang bertentangan ajaran Islam.
Demonstrasi bantahan juga dilihat sebagai salah satu cerminan ketegangan antara kalangan Islam konservatif dan kelompok sederhana di Bangladesh, dengan umat Islam meliputi 92 peratus daripada 170 juta penduduknya.
Pada pertengahan Februari lalu, para penentang patung itu sudah menyampaikan memorandum protes kepada Perdana Menteri, Shaikh Hasina Wazed serta Menteri Kehakiman dan Hal Ehwal Undang-undang, Anisul Huq.
Mereka menegaskan patung dewi legenda purba tersebut seumpama sebuah berhala yang bertentangan dengan ajaran Islam dan merancang akan terus mengadakan tunjuk perasaan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.
Para pegawai kehakiman Bangladesh bagaimanapun menjelaskan bahawa patung tersebut hanya merupakan lambang lazim proses keadilan, yang juga banyak digunakan oleh pihak badan perundangan di seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, Bangladesh menghadapi peningkatan serangan kekerasan oleh umat Islam radikal, termasuk serangan berdarah di sebuah kafe di sini awal Julai tahun lalu yang mengorbankan 22 orang.
Sebelumnya, seorang pekerja kuil Hindu dan aktivis homoseksual tempatan turut dibunuh. Dianggarkan lebih 40 orang maut dalam siri serangan dilakukan militan Islam sejak Februari 2013. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA