ISLAMABAD – Sebahagian besar pawagam Pakistan serentak memulaukan filem Bollywood susulan tindakan tentera India menggempur pasukan keselamatan Pakistan di wilayah bergolak Kashmir.
Rangkaian pawagam negara tersebut menyatakan, langkah pemboikotan penayangan filem-filem India akan dilakukan setidak-tidaknya selama dua minggu sehingga hubungan antara kedua-dua negara kembali normal.
Setakat ini pemulauan filem-filem India dilaporkan berlaku di pawagam-pawagam sekitar Lahore, Karachi dan ibu kota Islamabad, serta dilakukan atas dasar solidariti dan perasaan patriotisme terhadap pihak tentera Pakistan.
Menurut stesen penyiaran antarabangsa BBC, filem India di Pakistan sangat popular waima industri filem Pakistan sendiri mulai mengalami kebangkitan, namun dibandingkan dengan industri Bollywood, ia masih jauh lebih kecil.
Bagaimanapun, keputusan tegas pemboikotan filem-filem India, seperti diakui pengusaha pawagam tempatan dijangka membuatkan mereka sendiri boleh mengalami kerugian dari segi pendapatan hasil kutipan jualan tiket.
Dalam pada itu, bentuk sokongan serupa ditunjukkan para pembuat filem India menerusi Persatuan Produser Filem India dengan menerapkan larangan terhadap pelakon berasal dari Pakistan untuk tampil dalam filem Bollywood.
Susulan perkara itu, seorang tokoh politik sayap kanan di Pakistan bertindak balas dengan menyarankan agar semua aktor dan aktres Pakistan untuk segera keluar dari India sebagai protes dan membantu pihak produksi Pakistan.
Kawasan Kashmir sejak sekian lama menjadi wilayah yang sering meletus sengketa antara pasukan tentera India dan Pakistan selama bertahun-tahun malah dua negara itu sempat berperang dua kali untuk berebutkan Kashmir.
Ketegangan terkini bagaimanapun dipicu oleh serangan militan Pakistan terhadap sebuah markas tentera di Uri, kawasan Kashmir berada di bawah pentadbiran India pada 18 September lalu. Akibat serangan itu, 18 askar maut.
India kemudian melancarkan serangan balas dendam di sepanjang perbatasan de facto dengan Pakistan. Serangan itu, menurut Kementerian Pertahanan India terpaksa dilakukan untuk mengusir kumpulan pengganas dari Pakistan.
Namun, Islamabad menepis keras alasan New Delhi tersebut bahkan menyatakan bahawa dua tenteranya turut dilaporkan terbunuh akibat serangan daripada pasukan keselamatan India. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA