KEHANGATAN kejayanan pasukan bola jaring negara ketika menentang Singapura sehingga menang 65-41 masih lagi terasa!
Impak yang diberikan oleh mereka masih terasa walaupun final telahpun berlalu pada hari Ahad yang lalu. Kini, pasukan bola jaring negara semakin mendapat nama dan dipandang oleh ramai orang.
Mereka bukan sahaja mengharumkan nama negara kerana telah berjaya menundukkan juara bertahan, Singapura ketika permainan penuh debaran yang diadakan dekat Stadium Jugra, Kompleks Sukan Bukit Kiara tempoh hari.
Bahkan telah berjaya membuka mata semua orang bahawa pasukan mereka tidak mudah untuk ditandingi.
Mereka mula mendapat banyak jemputan dari stesen tv dan radio untuk berkongsi kejayaan dan strategi yang digunakan oleh jurulatih, Tracy Robinson.
Para pemain juga semakin dikenali antaranya penjaring terbanyak pasukan bola jaring iaitu An Najwa Azizan, Norashikin Kamal Zaman serta Nur Fariha Abdul Razak dan ramai lagi pemain yang semakin dikenali.
Mana tidaknya, pengikut mereka di laman Instagram kini naik secara mendadak selepas tamat perlawanan.
Dendam yang akhirnya terbalas itu benar-benar membawa impak yang besar dalam sukan tersebut. Bak kata pengulas sukan tempoh hari, “Kita pinjamkan sahaja medal Gold tu kepada pasukan Singapura. Tahun ini kita rampas semula hak kita.”
Lihat sajalah lepas tamat saja pelawanan, mereka sudah dijemput ke konti ERA FM untuk ditemubual.
Pagi ini saja mereka juga turut menerima jemputan ke Wisma TV Angkasapuri, RTM bagi rancangan Selamat Pagi Malaysia di stesen TV1.
Kesemua ahli pasukan turut hadir bersama dengan jurulatih kesayangan yang banyak membantu corak perlawanan, Tracy Robinson.
Ketika ditanya tentang apa perasaan mereka selepas mendapat pingat emas itu, cuma satu yang mereka katakan iaitu syukur di atas kesempatan yang diberikan dan sokongan dari rakyat Malaysia yang tak pernah putus menyokong pasukan bola jaring.
“Kita cuma menikmati kejayaan yang kami dapat. Mungkin kalau dari segi persiapan, itu yang buatkan kami rasa kami layak mendapat medal ni kerana selama 18 bulan kami telah menghadapi kesengsaraan berlatih,” ujar An Najwa dalam nada berseloroh. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah