KEJADIAN kebakaran menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah di ibu negara semalam adalah insiden yang amat menyedihkan bagi rakyat Malaysia.
Tragedi tergempar itu telah mengorbankan 21 pelajar dan dua warden. Manakala, dua pelajar yang terselamat dilaporkan masih dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah, Muhammad Zahid Mahmod dilaporkan telah menyifatkan kematian kumpulan pelajar cilik berkenaan sebagai mati syahid.
Menurutnya lagi, semua mangsa yang terkorban dan cedera dikatakan sanggup meninggalkan ibu bapa, adik beradik serta rakan sepermainan hanya untuk menuntut ilmu agama di pusat tahfiz.
“Budak masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Sanggup tinggalkan ibu bapa, masakan air tangan bonda, adik beradik dan masa bermain tinggal di sini semata-mata untuk belajar agama.
“Mereka ini, insya-Allah mati syahid,” kata Muhammad Zahid yang dipetik oleh sebuah portal online. Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikatakan ada tidak disenangi ramai netizen.
Antaranya pengacara TV3 yang terkenal menerusi program Jalan-Jalan Cari Makan, Nazrudin Rahman telah menempelak kenyataan tersebut dengan meluahkan rasa kecewa dan amarah di akaun Twitter miliknya.
Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don’t know.
— Nazrudin Rahman (@NazrudinRahman) September 14, 2017
“Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don’t know. Tell me if you’ve done enough due diligence. Mereka datang untuk belajar, mereka mati kerana cuai,” tulisnya biadab.
Baca: Kes Tahfiz Terbakar – Mufti Seru Umat Islam Berdoa
Difahamkan, Naz, 39, berkata demikian kerana merasakan masih terdapat banyak pusat tahfiz yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) atau mengamalkan langkah keselamatan kecemasan yang betul.
Namun kenyataan ‘keras’ pengacara itu nyata bercanggah dengan pencerahan rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri semalam yang mengesahkan mangsa sebagai mati syahid.
Beliau turut memetik Hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Orang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada 7 orang iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan wanita meninggal ketika lahir anak adalah syahid.” (HR. Abu Daud, no. 3111.).
Sabda Nabi Muhammad SAW itu yang dirujuk Zulkifli jelas menyenaraikan mangsa maut akibat kebakaran juga termasuk ketika menuntut ilmu agama adalah sebagai mati syahid dan isu tersebut bukan perkara baharu.
Mungkin Naz hanya menyentuh aspek SOP bangunan tetapi mempertikaikan status syahid individu yang terbunuh dalam insiden tragik sedemikian menimbulkan persoalan berhubung tahap kefahaman agama Islam dirinya.
Semua maklum, menolak Hadis Rasulullah SAW secara sengaja boleh dianggap sebagai terkeluar akidah Islam apatah lagi mempertikaikan hadis masyhur tersebut. Wallahu a’lam bis sawab… – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura