KUANTAN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim Pahang (Ukhwah) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini berhubung dua individu yang memuat naik status menghina Islam di laman Facebook sehingga tular.
Presiden Ukhwah, Zulkefly Senek berkata, beliau menyedari status dimuat naik pengguna akaun Facebook, Sakar Tanesan dan Foo Sing Wai yang bersifat penghinaan kepada Islam dan Nabi Muhammad pada kira-kita pukul 9 malam tadi.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya dibuat oleh sesiapa untuk tujuan menghina mana-mana agama sekali pun.
“Kami menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kedua-dua individu berkenaan,” ujar beliau.
Status berunsur penghinaan terhadap Islam ysng dimuat naik dua pengguna Facebook itu mula tular di laman sosial tersebut sejak malam tadi, sekali gus mengundang kemarahan netizen.
Bertindak balas terhadap penghinaan tersebut, seramai 50 ahli Ukhwah di sini mengiringi Zulkefly membuat laporan di IPD Kuantan pada tengah hari tadi.
Sementara itu, Penasihat Ukhwah, Tengku Najirulzamal Tengku Jamaluddin menyeru pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap sesiapa sahaja yang membuat penghinaan terhadap mana-mana agama.
“Sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong dihina dan kali ini, Nabi Muhammad pula dihina. Perkara seperti ini juga semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
“Tetapi janganlah kita ambil tindakan sendiri. Sebaik-baiknya buatlah laporan kepada polis dan serahkan kepada undang-undang,” kata beliau. – K! ONLINE