SHAH ALAM – Penjual Nasi Lemak Anak Dara, Siti Hajjar Ahmad yang sensasi susulan gerainya disaman pibak berkuasa tempatan mendakwa terpaksa berlakon di depan Menteri Besar Selangor.
Pendedahan gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu disiarkan portal berita tempatan MalayMail Online sekali gus menjawab kisah kunjungan Datuk Seri Azmin Ali, di gerainya di Seksyen 7 di sini pada Jumaat lalu.
Tambah bekas graduan Universiti Tun Hussein Onn di Batu Pahat, Johor itu, dia terpaksa menggayakan seolah-olah sedang memberikan bungkusan nasi lemak yang sebenarnya kosong kepada pemimpin kerajaan negeri tersebut.
Kata Siti Hajjar yang berusia 24 tahun itu, tokoh politik PKR tersebut datang tidak kena pada masa ketika dirinya kebetulan memang sibuk di dapur untuk menyiapkan ratusan bungkusan nasi lemak yang sudah ditempah awal.
“Saya tidak mahu turun [jumpa Azmin] sebenarnya sebab masa itu ada banyak tempahan untuk sebuah masjid. Masa itu pun [saya] tidur sejam saja. Beliau datang ketika itu sekejap sahaja tetapi tunggu saya yang agak lama.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) suruh datang ke pejabat mereka sebab menteri besar katanya hendak turun (datang) ke sana. Saya kata tidak boleh, masa itu banyak tempahan, ada lebih 300 bungkus kena disiapkan.
“Malah waktu itu memang saya kena duduk di dapur. Saya kata tak boleh, sibuk. Mereka kata sekejap saja, menteri besar nak jumpa,†katanya yang pernah menuntut di Kolej Matrikulasi Kedah selepas tamat tingkatan lima.
Azmin melakukan kunjungan singkat itu setelah muncul berita Hajjar mendapat kompaun RM300 daripada MBSA kerana berniaga tanpa lesen yang menjadi viral menerusi media sosial dan kerajaan Selangor teruk dikritik.
Pihak berkuasa tempatan itu dilaporkan mengambil tindakan tidak lama selepas Nasi Lemak Anak Dara muncul sensasi dalam kalangan netizen sehingga menyaksikan ramai pelanggan sanggup beratur untuk membelinya.
Tindakan Azmin tersebut bagaimanapun dikecam penduduk dan pemimpin Barisan Nasional susulan krisis bekalan air terputus begitu lama di sebahagian besar kawasan Lembah Klang yang langsung tidak mendapat perhatian.
Drama keprihatinan Timbalan Presiden PKR itu juga dibidas kerana selama ini pihak berkuasa tempatan di Selangor ‘rakus’ merobohkan secara zalim banyak gerai peniaga bumiputera yang konon beroperasi secara haram.
Beliau turut didakwa sebagai tidak berani ‘turun padang’ untuk menyaksikan sendiri penderitaan rakyat termasuk peniaga kecil yang kerugian besar akibat ketiadaan bekalan air sejak minggu lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA