RIYADH – Pertandingan ratu cantik unta yang diadakan setiap tahun menarik minat ramai peserta apabila hadiah lumayan bernilai AS$31.9 juta (RM133 juta) menjadi rebutan mereka.
Beberapa siri pertandingan ratu cantik unta yang diadakan di Semenanjung Arab sebelum ini terhad kepada unta bonggol satu dan panel juri akan menilai keindahan rupa bentuk bonggol, leher, kepala serta bibir yang menawan.
Bagaimanapun, ia mempunyai syarat ketat seperti pengesahan keaslian baka dan salasilah haiwan tersebut.
Minat dalam pertandingan ratu cantik unta meningkat ketika kemuncak pengeluaran minyak pada abad ke-20 dengan unta menjadi simbol status dan kemewahan.
Bilangan peserta ‘ratu cantik’ itu semakin bertambah. Pada tahun 2017, lebih 30,000 ekor unta bertanding semasa Festival Raja Abdul Aziz di Arab Saudi yang menawarkan hadiah berjumlah AS$31.9 juta (RM133 juta).
Hadiah itu dipecahkan kepada enam kategori dengan setiap pemenang berpeluang memenangi AS$5.3 juta (RM22 juta) serta mahkota ‘Ratu Unta’. – Agensi/KOSMO ONLINE