ALOR SETAR – Pasar nelayan Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah hari ini diserbu orang ramai yang ambil peluang beli ikan kembung atau lebih dikenali sebagai ‘ikan temenung’ dalam kalangan penduduk tempatan berikutan harganya merudum kepada RM2.50 dan RM3 sekilogram berbanding kebiasaan RM12 hingga RM15.
Fenomena dikenali sebagai ‘ikan naik ke darat’ dalam kalangan nelayan itu menyaksikan pasar tersebut dikunjungi bukan sahaja penduduk setempat tetapi juga dari luar daerah sejak awal pagi untuk beli hasil laut terus daripada nelayan yang baru mendarat.
Ketika ditemui Bernama di pasar berkenaan, seorang nelayan Ahmad Yusni Jaafar, 40 berkata fenomena ‘ikan naik ke darat’ bukanlah suatu yang luar biasa sebaliknya merujuk kepada keadaan ikan berada lebih dekat dengan pantai.
“Keadaan ini yang jarang berlaku memudahkan nelayan menangkap ikan dengan jumlah lebih banyak dan fenomena ini dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi,” katanya yang berjaya menaikkan lebih 100 kg ikan hari ini.
Menurutnya fenomena itu memberi manfaat kepada 30 nelayan hari ini yang menerima pulangan lumayan.
Seorang pelanggan Mohd Ashraf Mohd Zakri, 24 dari Jalan Datuk Kumbar di sini berpuas hati kerana dapat membeli empat kilo ikan temenung hari ini untuk dijadikan kuah laksa.
“Saya sangat beruntung kerana datang pada hari ikan murah dan sempat beli empat kilogram ikan yang masih segar hanya RM10, sebelum ini memang belum pernah datang sini dan sangat terkejut melihat ikan yang banyak dan murah berbanding di luar sana,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah Abdul Hamid Bahari berkata faktor perubahan cuaca yang tidak menentu selain angin yang kuat menyebabkan ikan temenung bergerak ke kawasan pantai sekali gus memberi pulangan lumayan kepada nelayan Zon A. – BERNAMA