KANTOI… Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa Pakatan Harapan (PH) kesuntukan masa untuk tunai janji manifesto yang dibuat dengan tidak jangka gabungan itu betul-betul akan menang.
Bagaimanapun, kata Pengerusi PH itu, blok politik pelik tersebut perlu melakukan apa yang terbaik konon bagi memenuhi segala janji manis berkenaan atau perlu cari dalih penjelasan sesuai jika janji gagal dapat dipenuhi.
Beliau yang juga perdana menteri dengan usia tertua di dunia itu berkata demikian ketika bercakap di hadapan para pemimpin PH dan Parti Warisan Sabah dalam satu majlis jamuan malam di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Beberapa sumber yang hadir pada majlis mewah tersebut memberitahu portal Malaysiakini bahawa Mahathir, 93, turut mengingatkan mereka kemungkinan akan terjadi perasaan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.
“Sebenarnya kita pun tidak jangka menang Pilihan Raya Umum (PRU), kita buat manifesto tebal dengan pelbagai janji… Kita perlu penuhi janji itu, sebab itu kita tidak boleh buat janji yang kita memang tidak boleh penuhi.
Baca: Pulak Dah! Mahathir Akui Susah Tunai Janji 100 Hari
“Kita perlu berkorban untuk penuhi janji kita. Jika kita tidak dapat penuhi kita perlukan sebab yang bagus dan boleh diterima rakyat. Jika tidak, kita gagal menunaikan janji kita, pembangkang akan gunakannya (untuk kritik).
“Dan kita mungkin akan kalah (dalam PRU akan datang),” kata Mahathir dalam nada selamba ketika mengulas janji palsu PH yang terkandung menerusi manifesto seperti dipetik sumber dan kemudian dilaporkan Malaysiakini.
Beliau turut beri contoh janji PH kononnya untuk menjadikan penyandang jawatan ketua pembangkang di Parlimen setaraf dengan menteri yang sebenarnya memang pun tidak perlu dimaklumkan semasa kempen pada PRU lepas.
Malaysiakini melaporkan bahawa Mahathir berjenaka dengan berkata janji manis berkenaan sengaja dibuat mereka dengan jangkaan PH hanya akan kekal menjadi sebagai gabungan pembangkang yang kuat di Dewan Rakyat.
“Tapi kita menang (dalam PRU tersebut) pula dan kini kita berasa tidak selesa untuk jadikan ketua pembangkang setaraf dengan menteri. Itu masalahnya apabila kita berjanji,” dalih Mahathir lagi. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video berikut sekadar hiasan…