SELESAI… Kontroversi filem aksi Polis Evo 2 terbitan Astro Show dan diarahkan oleh Joel Soh dan Andrew Chiew akhirnya selesai setelah disahkan tiada sebarang mesej penghinaan kepada Islam.
Demikian ditegaskan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri. Sebaliknya kata beliau, filem itu lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.
Bagaimanapun katanya, terdapat ungkapan dalam babak filem itu yang tidak dijelaskan dengan terperinci dan kesan tersebut boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qada dan qadar.
“Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.
“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem,” katanya melalui hantaran dalam akaun sosial Facebooknya.
Zulkifli juga cadang pihak produksi agar letak penjelasan pada awal filem atau addendum berhubung kesamaran jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang boleh terdedah kepada salah faham terhadap agama.
Katanya, beliau buat ulasan ini setelah didatangi Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu, Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh yang memintanya untuk memberikan pandangan berkenaan jalan cerita filem Polis Evo 2.
Ia berikutan rentetan daripada kontroversi yang timbul berkenaan filem ini.
“Saya mencadangkan kepada beliau untuk membenarkan saya dan para pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menonton terlebih dahulu filem ini sebelum buat sebarang ulasan yang terburu-buru berdasarkan trailer.
Tetapi kata beliau, bukanlah niat dan tugas mereka untuk menapis semua filem tempatan. Ini dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanah air.
“Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.
“Apa yang telah terjadi ini, merupakan satu ingatan bagi pihak dalam industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya selepas ini,” kata Zulkifli.
Polis Evo 2 mencetuskan kontroversi apbila umat Islam di negara ini diminta supaya memboikot filem itu kerana didakwa beberapa pihak sebagai cuba untuk kaitkan Islam dengan imej keganasan.
Malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat dakwaan filem tersebut yang mungkin ada memberi imej buruk kepada ajaran Islam.
Tindakan itu berikutan kenyataan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Riduan Md. Nor yang menggesa rakyat Malaysia boikot untuk memberi pengajaran kepada mereka terlibat dalam filem itu. – Agensi/Mynewshub.TV