SEKARANG ini orang ramai mula menitikberatkan soal makanan bersih, selamat dan sihat. Apabila kedai bersih, makanan sihat dan selamat, sudah tentu ia dapat menarik orang ramai datang menjamu selera di premis itu.
Pengusaha premis makanan sudah tentu bimbang apabila ada pelanggan yang mungkin ragu-ragu dengan kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan mereka.
Keraguan itu dapat ‘dihapuskan’ dengan pengusaha premis makanan di negara ini memiliki sijil pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengiktirafan BeSS ini adalah usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menggalakkan pengusaha premis menyediakan makanan yang selamat dan sihat kepada pelanggan mereka.
Permohonan untuk mendapatkan sijil BeSS ini adalah percuma dan lebih menarik lagi KKM akan membimbing pengusaha dari segi keselamatan makanan dan mempromosi makanan yang lebih sihat kepada pelanggan.
Ini sekaligus dapat membantu pengusaha makanan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis makanan dan pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di bawah Akta Makanan 1983.
“Pengusaha bijak yang mengamalkan kebersihan dan keselamatan makanan digalakkan memohon pengiktirafan BeSS bagi mewujudkan persekitaran makanan yang berkualiti,” kata Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Puan Noraini Mohd Othman.
Pemilik premis perlu ingat perkara ini bagi memastikan perniagaan anda lebih terjamin kerana ‘Ada BeSS baru Best!’.
Perniagaan akan lebih maju dan keyakinan pelanggan terhadap hasil makanan terus meningkat.
Bagi pelanggan pula, sudah tentu mereka mempunyai pilihan premis yang bersih bagi mendapatkan makanan yang selamat dan sihat.
Melalui BeSS ini juga pelanggan dapat memilih makanan yang sihat apabila maklumat kalori dipaparkan pada menu.
Mesej makan secara sihat yang diterapkan pada premis BeSS ini dapat mewujudkan persekitaran makanan yang bersih malah mengalakkan pengambilan makanan secara sihat.
Jadi, apa tunggu lagi? Jika anda seorang pengusaha premis makanan yang mementingkan aspek kesihatan, keselamatan dan kualiti makanan, cepat-cepat buat permohonan untuk dapatkan sijil BeSS.
Hubungi ibu pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia atau boleh layari laman sesawang fsq.moh.gov.my dan Facebook BKKMHQ untuk maklumat lanjut.
Percayalah, perniagaan akan lebih maju sekiranya pelanggan yakin terhadap penyediaan makanan yang bersih dan memiliki BeSS.
Anda pula pengguna yang bijak, pilih premis makanan yang ada logo BeSS sahaja untuk kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga. – MYNEWSHUB.CC