Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

India Denda Pesawat Buang...

NEW DELHI - Sebuah mahkamah alam sekitar India memerintahkan syarikat penerbangan yang membuang...

MISC Akan Kerjasama Penuh...

KUALA LUMPUR — Syarikat maritim berkaitan kerajaan, Malaysia International Shipping Corp. Bhd. (MISC),...

2 Lelaki Ditahan Miliki...

SEREMBAN - Polis menahan dua lelaki berumur 24 dan 32 tahun dalam satu...

Sebutan Semula Kes CEO...

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 29 Mac ini...

Proton Kini Menuju Ke Era Baharu Lebih Yakin

BERITA pengumuman DRB-Hicom yang Datuk Ahmad Fuaad Kenali bakal lepas jawatan Ke­tua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton akhir bulan ini memberi bayangan yang Geely bakal letak orangnya di dalam Proton.

Untuk rekod, Proton diasaskan pada 1983 tetapi kemudian dibelenggu teruk dengan pelbagai masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini hingga dianggap nazak walaupun disuntik dana ekstra daripada kerajaan.

Walhal pada 2001, Proton pernah gah mampu menguasai 53 peratus pasaran tempatan, sebelum jatuh merosot teruk kepada cuma 14 peratus sepanjang tahun lalu kerana ramai lebih memilih jenama lain termasuk Perodua.

Justeru, berita pelantikan Li Chunrong yang dipilih oleh rakan strategik kereta kebangsaan tersebut iaitu Zhejiang Geely dari China sebagai CEO baharu Proton mulai Isnin minggu depan sepatutnya wajar dilihat dari sudut positif.

Bahkan pelantikan Winfried Vahland, bekas CEO anak syarikat milik penuh Kumpulan Volkswagen, Skoda Auto menganggotai Lembaga Pengarah Proton dalam pengurusan baharu syarikat, juga dianggap langkah paling berani.

Ini bermakna buat julung kali dalam sejarah lebih tiga dekad ditubuhkan, Proton benar-benar serius dalam industri automotif dan mula bergerak ke arah pasaran global yang lebih besar berbanding sekadar tepu di pasaran domestik.

Chunrong, 53, yang sudah tiba dari China, dijadual memulakan tugas secara rasmi 2 Oktober ini dan nama beliau sebenarnya telah lama heboh dalam kalangan pemain industri automotif antarabangsa sebagai bakal terajui Proton!

Manakala Vahland, 60, warga negara Jerman dengan pengalaman 33 tahun dalam bidang automotif menunjukkan tahap keseriusan pengurusan baharu untuk mendapatkan bakat sebenar kejuruteraan automotif ke dalam Proton.

Kerjasama sebegini bukan isu baharu dan tentu ramai pernah terkejut dengan berita penguasaan syarikat automotif terbesar India, Tata Motors ke atas Jaguar Land Rover dari Britain pada 2008 lalu selepas diambil alih oleh Ford.

Atas kertas ramai pencinta jenama Proton rindu sentimen nostalgia, tetapi realiti landskap industri ini sudah jauh berubah dan tidak perlu ‘dibuai’ kisah kejayaan silam hasil dasar perlindungan kerajaan hingga gagal bersaing sihat.

Meskipun DRB-Hicom telah berjaya mengeluarkan beberapa model baharu tahun lepas, tetapi ia masih lemah untuk menawan pasaran dan lebih memalukan apabila jualan Proton diatasi Perodua yang baharu ditubuhkan sejak 1993.

Bayangkanlah tahun lalu hanya 72,290 unit pelbagai model Proton berjaya dijual berbanding Perodua mencatatkan 207,110 unit. Ini tiada kena-mengena langsung dengan konon semangat patriotik rakyat Malaysia semakin tipis!

Faktanya dengan pasaran kecil dan amat terhad, sukar untuk Proton membangunkan dirinya sendiri. Ambil contoh mudah iaitu model bajet popular Iriz menelan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) mencecah RM600,000.


Ini belum lagi termasuk kos pengiklanan dan promosi. Maka kemasukan Geely bukan setakat mengisi jawatan tertentu, malah membawa bersama pemindahan teknologi baharu, terutama akses kepada teknologi canggih Volvo.

Selain itu Geely bakal mewujudkan sebuah pusat R&D di Malaysia dan lebih penting, peluang akses ke pasaran China dengan penduduk lebih 1.4 bilion orang yang sukar ditembusi pengeluar automotif Barat sejak sekian lama.

Dengan pasaran luas bahkan menjadi negara pengeluar automotif terbesar dunia sejak 2009, peluang keemasan memasuki China dianggap amat hebat kerana bukan calang-calang jenama kenderaan dapat dijual di negara itu.

Dalam industri automotif global, kos penghasilan sebuah model baharu memang besar dan kerjasama dua syarikat sebegini bukan pun pelik demi berkongsi teknologi secara optimum termasuk bahan komponen asas yang sama.

Realitinya tidak ramai tahu bahawa ketika Proton diwujudkan dengan kerjasama Mitsubishi, ia juga melantik warga Jepun sebagai CEO selain sejumlah rakyat negara matahari terbit itu dalam pelbagai jawatan penting di kilangnya.

Waktu itu tiada siapa mempertikaikannya dan kini kerjasama serupa turut dilaksanakan tetapi matlamatnya berbeza iaitu mahu membawa Proton setanding dengan standard industri automotif global dan melebarkan pasaran sejagat.

Mungkin Proton tidak perlu malu mencontohi kisah kejayaan Hyundai dari Korea Selatan yang pernah modelnya dihalang memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada 1984 hanya kerana gagal ujian pelepasan asap ekzos.

Setahun kemudian ia bukan sahaja mampu mengeluarkan unit kesejutanya dan setahun selepas itu menembusi AS, bahkan kini gergasi automotif keempat dunia selepas Toyota Jepun, Volkswagen Jerman dan General Motors AS.

Hyundai juga ada melalui zaman kejatuhan sebelum bangkit dan sejarah membuktikan, syarikat itu pernah melantik warga asing dalam jawatan penting sebelum mampu berdikari dengan memiliki 75,000 pekerja di 193 buah negara.

Inilah yang sedang dirangka pihak pengurusan baharu Proton dan sebagai warga Malaysia, kita sewajarnya teguh menyokong pelan transformasi syarikat tempatan ini untuk bangun menawan persada dunia. – Mynewshub.cc/HAA

Kategori