SEMALAM, Mynewshub ada menyiarkan kisah viral mengenai sebuah pusat rawatan Islam cekik darah yang berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM32,800 daripada seorang pesakit sahaja.
Susulan itu, pusat rawatan tersebut telah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Agama Islam Melaka semalam.
Bagi menjawab persoalan pusat rawatannya menawarkan harga cekik darah, pemiliknya tampil memberikan penjelasan bahawa mereka tidak pernah memaksa pesakit untuk meneruskan rawatan di pusat perubatan yang terletak di Jasin, Melaka itu.
Baca: Pusat Perubatan Islam Cekik Darah… Caj Pesakit RM32K!
Menurut pemiliknya yang enggan dikenali, gambar yang diviralkan itu bukanlah resit bayaran tetapi sebaliknya adalah sebut harga yang dikeluarkan pihaknya sebelum meneruskan rawatan.
“Selepas membuat imbasan dengan persetujuan bayaran RM300 saya memberitahu penyakit-penyakit ibunya dan mengeluarkan sebut harga yang perlu dibayar sekiranya bersetuju meneruskan rawatan disyorkan.
“Sebenarnya itu hanya sebut harga di atas kertas. Kita di pusat ini tak paksa untuk mengenakan jumlah-jumlah tertentu tapi mengikut kadar kemampuan pesakit atau ahli keluarganya,” katanya memetik Sinar Harian.
Menurut pemilik itu lagi, dia menerima seutas gelang emas selepas keluarga berkenaan bersetuju meneruskan rawatan sebaik sahaja sebut harga dikeluarkan.
“Saya tak paksa pesakit teruskan rawatan di sini kerana ramai juga yang datang scan sahaja dengan bayaran sebanyak RM300. Tapi bila dah tandatangan beserta cop jari (sebut harga) bermakna dia dah setuju (teruskan rawatan).
“Malah pesakit sendiri yang membuka gelang emas tersebut tanpa paksaan dan menyerahkan kepada saya serta berkata barang kemas berkenaan bernilai RM4,800 sedangkan bila saya pergi ke kedai emas, harga sebenar kira-kira RM1,700 sahaja,” jelasnya lagi.
Menurutnya pusat rawatan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak dua tahun lalu dan menggunakan kaedah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, doa dan zikir tanpa melibatkan amalan songsang dalam aktiviti perawatannya.
“Malah terdapat ayat Al-Quran yang saya beri kepada pesakit untuk diamalkan, tiada kaitan dengan benda-benda khurafat mahupun jampi serapah.
“Sepanjang merawat, ada juga yang tak bayar kos rawatan keseluruhan tapi tak ada la saya nak viralkan. Saya tak mahu mengaibkan orang dan cuma anggap ia dugaan,” ujar pemilik tersebut yang mengusahakan pusat rawatan itu bersama isterinya. – MYNEWSHUB.CC