Friday, January 17, 2025

Creating liberating content

Siasatan Profesional & Telus...

KUALA LUMPUR - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yakin satu siasatan profesional dan...

PAS Akan Bertanding Lebih...

SHAH ALAM - PAS akan bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen pada pilihan...

Gadis Singapura Dilapor Hilang,...

SEORANG gadis berasal dari Singapura, Cheryl Yap Lay Leng yang dilaporkan hilang oleh...

Lembu Ganggu Sesi Fotografi...

TAMWORTH – Satu pasangan pengantin cemas selepas seekor lembu tiba-tiba cuba menyerang mereka...

Rakyat Malaysia Boleh Menjadi Masyarakat Paling Harmoni

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat negara ini akan menjadi masyarakat paling harmoni dan bersatu-padu di dunia sekiranya prinsip Rukun Negara berhubung kesopanan dan kesusilaan dihayati dalam pergaulan seharian, baik secara fizikal atau secara maya di media sosial.

“Jika kita semua bersopan, bertatasusila, beradab dan berbudi bahasa dalam pergaulan seharian, baik secara fizikal atau secara maya di media sosial, saya yakin masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang paling harmoni dan bersatu-padu di dunia.

“Masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bersopan dan bertatasusila, beradab, kaya dengan budi bahasa, bertimbang rasa dan berpekerti mulia,” katanya ketika melancarkan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak mudah mengeluarkan kata-kata kesat atau melakukan perbuatan yang tidak senonoh sehingga menyinggung atau menghina perasaan orang lain.

“Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap biadab. Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap tidak bertimbang rasa,” katanya.

Sambutan berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, dan disiarkan secara langsung di BERNAMA TV (Astro 502, myFreeview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat.

Selain Kesopanan dan Kesusilaan, empat lagi prinsip Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Perdana Menteri menegaskan, prinsip itulah yang memberi makna amat mendalam kepada rakyat Malaysia dalam membentuk jati diri, menjadi asas identiti diri dan penyatuan setiap individu bergelar bangsa Malaysia tidak kira kaum, agama dan warna kulit.

Mengajak semua rakyat memperteguh iltizam untuk terus menjunjung kelima-lima prinsip falsafah negara itu, Muhyiddin berkata penghayatan dan pengamalannya sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar.

“Yang penting ialah kita mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat menerusi amalan prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam Rukun Negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa diamalkan dalam masyarakat dan diwarisi dari satu generasi ke generasi.

“Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian.


“Tidak kiralah sama ada anda seorang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, Orang Asal atau mana-mana kaum dan suku kaum sekalipun, sekiranya anda bergelar warganegara Malaysia, inilah ciri-ciri yang wajib anda miliki,” katanya.

Malah, katanya, rakyat Malaysia diperkenalkan dengan kelima-lima prinsip Rukun Negara ini sejak di bangku sekolah lagi, antaranya di buku-buku latihan, di papan tanda dan dinding sekolah.

Muhyiddin berkata, perpaduan antara rakyat sehingga kini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan wajar menjadi panduan rakyat dalam mengharungi masa hadapan, ke arah menghadapi dunia tanpa sempadan yang sering menguji keharmonian antara kaum.

Beliau juga menyentuh mengenai pada masa lalu, pihak berkuasa menerima banyak laporan mengenai perbuatan atau perkataan yang dipaparkan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter yang kadang kala menyinggung perasaan anggota masyarakat yang lain.

“Walaupun siasatan dijalankan dan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang, namun perbuatan sedemikian meninggalkan kesan luka yang mendalam ke atas perpaduan dan keharmonian masyarakat kita.

“Saya percaya keadaan ini, boleh kita elakkan jika kita mengamalkan prinsip Rukun Negara,” katanya.

Muhyiddin turut amat terharu dengan semangat perpaduan rakyat dalam menghadapi wabak COVID-19 baru-baru ini sehingga membolehkan kerajaan mengurus wabak itu dengan berkesan dan dikatakan antara yang terbaik di dunia, selain mengupas satu persatu prinsip itu ketika berucap.

Di majlis itu, Perdana Menteri menyertai bacaan ikrar Rukun Negara, melancarkan logo rasmi sambutan 50 tahun Rukun Negara, setem khas dan melawat galeri dan pameran bahan-bahan dan gambar bersejarah penggubalan Rukun Negara.

Majlis sambutan itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Perpaduan Negara.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. – BERNAMA

Kategori