SEJAK Ramadan lalu, ramai selebriti wanita tanah air yang mengambil keberkatan bulan puasa itu dengan kelihatan manis berhijab.
Malahan ada beberapa antara mereka yang langsung mengambil keputusan untuk terus menutup aurat dan antaranya ialah penyanyi Maya Matahari.
Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee berharap agar perjalannya dalam menutup aurat dengan lebih sempurna itu akan dipermudahkan oleh-Nya.
“Sebenarnya, sudah lama saya cuba memakai tudung, tetapi tidak kekal. Bagaimanapun pada Ramadan lalu, keinginan itu seperti dipermudahkan.
“Saya sendiri selesa dengan imej baharu ini. Bahkan, jika hendak keluar ke kawasan berdekatan rumah sekalipun, saya tetap ingin bertudung atau berselendang,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Dalam masa yang sama, Maya turut berdoa semoga dirinya akan terus istiqamah dalam melaksanakan tuntutan agama itu.
Malah, penyanyi berusia 42 tahun itu turut memberitahu bahawa dia sudah tergerak hati untuk kekal berhijab ketika pulang beraya ke Johor Bahru baru-baru ini.
“Malah, pada pagi raya, saya jadi sangat teruja kerana bukan sekadar menggosok baju, sebaliknya tudung untuk digayakan juga.
“Selama ini, saya banyak beli dan kumpul tudung daripada pelbagai rekaan. Jadi, ia bukanlah satu masalah. Saya juga mula menempah baju yang lebih sopan dan tidak mendedahkan,” ujarnya lagi.
Selain itu, Maya kini sedang dalam proses melancarkan single baharunya berkonsep pop berjudul Perlu Ada Setia hasil ciptaan Tam Spider serta lirik tulisan oleh Iman Imran.
“Bertudung juga bukan halangan untuk saya meneruskan kerjaya seni. Kita dapat lihat, mereka yang berhijab pun boleh menyanyi hip hop.
“Selagi kita pandai membawa diri, insya-Allah semuanya baik-baik saja,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH