SUDAH menjadi lumrah atau ikutan orang kita, bagi yang sudah mendirikan rumah tangga pasti soalan ‘menyibuk’ yang akan ditanya adalah mengenai zuriat.
Tidak mahu terlalu memikirkan sangat perkara berkenaan, pelawak popular Abam Bocey mengakui mempunyai jawapan tersendiri sekiranya terdapat pihak yang ingin bertanya kepadanya soal zuriat.
Memetik mStar Online, Abam menjelaskan bahawa setiap hari dia dan isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk peroleh zuriat namun hanya Allah jua yang boleh menentukan mengenai perkara tersebut.
“Hari-hari saya merancang tapi Allah yang menentukan. Saya memang dah bersedia dengan jawapan jika ada yang bertanya soal anak. Saya tahu mesti ada yang akan bertanya kahwin dah nak setahun tapi bila nak dapat anak.
“Jawapan saya senang sahaja, kalau kita nak mati esok, kita tahu tak? Macam itu juga dengan kelahiran. Kalau ada, Alhamdulillah. Kalau tak ada, kita usaha,” kata Abam.
Tambah Abam, dia akan menjawab persoalan mengenai anak dengan serius biarpun orang menganggap seorang pelawak itu hanya tahu berjenaka sahaja.
Ujar pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, perasaan orang perlu dijaga tambahan pula pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi belum masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Orang akan jangka kita jawab dalam keadaan berjenaka sebab mereka ingat pelawak boleh buat main-main. Tapi soal ini, saya akan cakap dalam keadaan serius.
“Bagi saya soalan macam itu tak perlu ditanya pun tak apa. Tunggu saja berita gembira kalau orang tu nak beritahu. Perasaan orang pun perlu dijaga,” ujarnya lagi.

Justeru, pelakon yang terkenal menerusi drama seram komedi bertajuk Saka Sisters itu berharap orang memahami dan tidak bertanya soal anak.
“Letak diri kita di tempat orang yang ditanya. Kita yang baru setahun kahwin pun ada rasa sedih. Macam mana pula pasangan yang dah berpuluh tahun kahwin,” katanya.
Abam dan Siti Norhidayah berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor. – MYNEWSHUB.CC