BAGI sesetengah pasangan suami isteri, mereka pasti merancang untuk mendapatkan anak kembar. Namun tidak bagi pelakon Zizie Ezette Abdul Samad dan suami, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Zizie, 39, memberitahu bahawa kehamilannya untuk kali kedua ini memang merupakan faktor semula jadi yang mana dia langsung tidak mendapatkan sebarang rawatan kesuburan atau IVF.
Menurut pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu, dia juga tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, petua atau makanan tambahan untuk memudahkan proses kehamilannya.
“Ramai yang mesej saya secara peribadi untuk bertanya petua mengandung daripada saya dan jika saya ada makan ubat subur atau makanan tambahan untuk hamil.
“Saya tidak keberatan untuk kongsi dengan semua jika benar saya melakukannya. Namun saya hamil secara semula jadi tanpa sebarang rawatan,” tulisnya di salah satu gambar dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya semalam.
Tambah pelakon yang juga merupakan kakak kepada pelakon hebat Shaheizy Sam, dia juga tidak pernah mengalami sebarang kesukaran untuk hamil sebelum ini.
“Sebelum ini, doktor tidak pernah beritahu saya ada masalah untuk hamil, cuma saya percaya rezeki itu masih belum ada.
“Kepada sesiapa yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat, saya harap jangan putus asa,” tulisnya lagi.
Kini, kehamilannya sudah mencapai usia tujuh bulan dan dianggarkan bakal melahirkan zuriat keduanya pada bila-bila masa sahaja.
Zizie dan Bung telah mendirikan rumah tangga pada Disember 2009 yang lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Naila Nurjenna yang tak lama lagi berusia tiga tahun.
Dalam masa yang sama, Zizie juga telah mengambil seorang anak angkat yang diberi nama Aaric Zayn Izette beberapa bulan yang lalu, namun ketika itu dia masih lagi belum mengetahui mengenai kehamilannya.
“Dalam kesibukan saya berurusan dengan ibu kandung Aaric yang ketika itu sarat hamil, saya tak sedar, rupa-rupanya Allah juga mengurniakan rezeki berganda iaitu cahaya mata sendiri dalam perut ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AH