Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Deklarasi Rakyat: Tun M...

KUALA LUMPUR - Mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat membuat...

Nasib 7 Murid SK...

KUALA LUMPUR - DAP mendakwa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang,...

Curi Air: 3 Pengarah...

KUANTAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini, merintahkan tiga pengarah bersama syarikat...

Kuasai Bahasa Inggeris Dapat...

KUALA LUMPUR - Rakyat disaran menguasai Bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu pengetahuan dengan...

Risiko ‘Mati Mengejut’ Ketika Aktif Bersukan

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, didapati semakin ramai masyarakat khususnya generasi muda mula gemar melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat serta aktif.

Biasanya dilakukan pada hari hujung minggu, ada yang cenderung joging di taman, mengunjungi gimnasium, berbasikal mahupun memilih sukan lasak yang mencabar adrenalin mereka menerusi aktiviti berakit berarus deras dan mendaki gunung untuk kekal cergas.

Kecenderungan minat dalam aktiviti mengeluarkan peluh ini sebenarnya dari satu sudut dilihat sebagai suatu yang sangat positif. Apatah lagi, sebelum ini kita sering kali gusar mengenai peningkatan statistik kadar obesiti negara dalam kalangan generasi muda.

Akan tetapi, tahukah anda bahawa aktiviti fizikal yang sinonim dengan ‘gaya hidup sihat’ ini juga sebenarnya sangat berisiko mengancam nyawa seseorang itu tanpa disedari?

“Tahap kesedaran masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan sangat bagus tetapi adakah mereka melakukan dalam keadaan selamat? Memburukkan lagi, apabila dia sudah lama tidak bersukan.

“Ini sangat bahaya. Mungkin dia sudah penat ketika melakukan aktiviti fizikal tetapi tetap memaksa diri sekali gus mendedahkannya kepada risiko ‘mati mengejut’,” kata Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon kepada Bernama.

MATI MENGEJUT

Hakikatnya, isu mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baharu malah sudah beberapa kes berhubung dengannya dilaporkan dalam media sekali gus memerlukan permasalahan ini diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh.

Misalnya pada awal Mac tahun ini, seorang guru lelaki berusia 39 tahun dilaporkan maut ketika bermain badminton di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, Balik Pulau akibat serangan jantung.

Masih dalam bulan sama, hasrat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mahu menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak kesampaian apabila disahkan meninggal dunia ketika bermain futsal di Taman Cahaya, Sabak Bernam.

Manakala pada tahun 2017, lelaki berusia 49 tahun rebah dan tidak sedarkan diri ketika bermain futsal sebelum disahkan meninggal dunia di gelanggang futsal di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Begitu juga pada tahun 2016, seorang lelaki berusia 33 tahun tetiba rebah dan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas bermain futsal bersama rakan-rakannya di Subang Jaya.

Ini sebahagian kes mangsa mati mengejut dan apa yang membimbangkan adalah kebanyakan mereka masih muda dan berusia lingkungan bawah 50 tahun.

Kematian ini sekali gus membuktikan bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah.

IKUT KAWAN

Mengulas lebih lanjut mengenainya, Dr Jeffrey berkata punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat daripada penyumbatan salur darah koronari jantung.

“Keadaan ini dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan.

“Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan adalah sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Ini kerana, bukan semua aktiviti fizikal sesuai untuk kita.

“Ada sesetengahnya ikut kawan. Apabila kawan pergi berlari marathon​​​​​, kita pun hendak buat juga, bila dia daki bukit, kita pun nak juga. Tetapi, kita tidak periksa kesihatan dan tidak tahu tahap apa atau setakat mana keupayaan diri.

“Pengalaman saya aktif bersukan basikal sejak lima tahun lepas mendapati ada beberapa rakan mengadu sakit dada apabila buat aktiviti sukan. Apabila saya tanya adakah mereka buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu, ramai kata tidak,” katanya.

Trend semasa orang ramai yang ingin menyertai sukan ekstrem atau yang memerlukan daya ketahanan, kecergasan fizikal tinggi seperti larian marathon, berbasikal, boleh membahayakan sekiranya ada kelainan jantung yang tidak dikenalpasti terlebih dahulu.

Bagaimanapun, ​​​​​​permasalahan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baharu berjinak dalam sukan bahkan golongan aktif aktiviti fizikal juga tidak terkecuali. Malah, sudah beberapa atlet tempatan mahupun luar negara yang masih muda meninggal dunia secara mengejut ketika beraksi di padang.


SAYA AKTIF

Pada September tahun lepas, Ketua Jurulatih Bola Sepak Remaja, Majlis Sukan Negeri Kelantan berusia 48 tahun, rebah secara tiba-tiba semasa mengendalikan klinik bola sepak Rexcoco di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang sebelum meninggal dunia di Hospital Gua Musang.

Manakala pada Disember 2007, Kapten kelab bola sepak Scotland, Motherwell, Phil O’Donnell, 35, rebah selepas jantungnya gagal berfungsi semasa perlawanan antara Motherwell menentang Dundee United. ​​​​​​​

O’Donnel sempat diberi rawatan oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. ​​​​​​​

“Masih ada tanggapan orang yang aktif sukan tidak akan diserang penyakit tetapi realiti adalah sebaliknya. Kebanyakan atlet atau ahli sukan kompetitif berusia muda yang mati mengejut di gelanggang sukan adalah disebabkan hypertrophic obstructive cardiomyopathy iaitu suatu kelainan jantung di mana otot jantung bengkak dan menghalang pengaliran darah keluar dari jantung.

“Biasanya pesakit yang dilahirkan dalam keadaan ini (kongenital) ada kaitan genetik. Boleh menyebabkan mati terkejut semasa aktiviti sukan ekstrem akibat daripada otot jantung yang bengkak menutup jalan keluar pengaliran darah dari jantung.

“Disebabkan itu, amat penting pemeriksaan kesihatan. Misalnya, seseorang atlet akan tahu status kesihatan mereka sebelum terlibat dalam sesuatu perlawanan, sama ada mempunyai kapasiti untuk tingkatkan lagi tahap kecergasan mereka atau sebaliknya,” kata Dr Jeffrey.

Pemeriksaan kesihatan secara berkala sama ada bagi atlet, golongan yang aktif bersukan mahupun baharu berjinak-jinak dalam aktiviti fizikal dapat mengelak sebarang risiko kesihatan yang tidak dijangka ketika bersukan.

“Setiap lelaki berusia lebih 40 tahun dan wanita yang berusia lebih 45 tahun wajib melakukan pemeriksaan kesihatan. Ini kerana, wanita menopaus terdedah kepada risiko sakit jantung disebabkan hormon estrogen dan progesterone yang melindungi mereka sebelum ini sudah berakhir.

“Lelaki pada peringkat umur 40 tahun turut berisiko sakit jantung terutamanya mereka yang ada darah tinggi, kencing manis, kolesterol lemak yang tinggi dalam badan, hisap rokok dan faktor genetik,” katanya.

IJN PAKEJ BAHARU

Atas kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk bersukan dengan selamat, Institut Jantung Negara (IJN) mula menawarkan Pakej Kecergasan Atlet sejak awal tahun ini kepada orang ramai bertempat di Pusat Kesihatan IJN.

Pelaksanaan pakej ini turut mendapat kerjasama dengan pasukan benua Malaysia Forca Amskins Racing (FAR) di mana pelumba basikal FAR akan dijadikan sebagai Duta IJN pakej itu yang akan mempromosikan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Pada masa sama, kerjasama yang terjalin selama dua tahun ini akan membolehkan atlet lumba basikal menjalani pemeriksaan kesihatan yang disediakan di IJN secara percuma, kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub.

“Kami (IJN) memperkenalkan pakej ini untuk dua sasaran kumpulan iaitu golongan atlet profesional dan orang ramai yang minat bersukan seperti ‘weekend warriors’. Ada dua manfaat pakej ini iaitu memastikan seseorang itu selamat ketika bersukan dan memantau kemajuan pencapaian dan tahap fitness secara berkala.

Walaupun ada kalanya atlit kelihatan dalam keadaan sihat berbanding yang lain, mereka masih perlu melakukan pemeriksaan berkala untuk menangani masalah yang mungkin tidak diketahui mereka.

Mungkin sesetengah mereka tidak langsung mempunyai masalah jantung yang boleh menjejaskan karier atau nyawa. Namun keutamaan perlu bagi memastikan atlit dapat meneruskan aktiviti mereka dengan sepenuhnya dan kalau boleh untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya selepas majlis pengumuman kerjasama di antara FAR dengan IJN baru-baru ini.

Menurut Dr Mohd Azhari, pemeriksaan kesihatan pakej kecergasan atlet yang ditawarkan adalah berbeza dengan pemeriksaan kesihatan biasa kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh termasuklah melakukan ujian kecergasan VO2 Max. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • Sukan

Kategori