SELEBRITI antarabangsa, Kim Kardashian berdepan dengan detik cemas apabila diacukan dengan sepucuk pistol ketika kejadian rompakan di rumahnya yang terletak di Paris, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, lima lelaki bersenjata dengan memakai pakaian polis dan topeng muka mengacukan pistol di kepala dan mengikat tangannya di belakang.
Mereka kemudian mula menggeledah rumah mewahnya dan mencuri barangan kemas bernilai jutaan ringgit.
Kim, 35, dilaporkan merayu agar tidak diapa-apakan dan memberitahu bahawa anaknya juga berada di rumah itu ketika dua daripada lima perompak itu memasuki bilik dan mengacukan pistol di kepalanya.
Perompak tersebut mencuri sekotak barangan kemas bernilai 6 juta euro (RM28 juta) dan sebentuk cicin berharga 4 juta euro (RM18.49 juta) milik Kim dan tidak mencuri barangan kemas yang diberikan kepadanya untuk acara Fashion Week Paris.
Sebelum melarikan diri, kumpulan perompak itu meninggalkan Kim di dalam salah sebuah bilik air di rumahnya dengan tangan yang masih terikat.
Ketika kejadian, suami Kim, Kanye West berada di New York untuk membuat persembahan acara Meadow Music And Art Festival dan terus membatal persembahannya selepas menerima berita tersebut. -MYNEWSHUB.CC