BANGKOK – Setelah menempuh pelbagai ranjau dan duri selama lebih tiga tahun, rundingan damai selatan Thailand bagi memadamkan api permusuhan yang marak sejak sekian lama dan sebelum ini sering dikritik kerana bergerak dengan begitu perlahan, kini mula menampakkan sinar kejayaannya.
Hasil peranan Malaysia sebagai pemudah cara rundingan itu, kerajaan Thailand dan MARA Patani, badan induk yang mewakili kumpulan militan di selatan Thailand, akhirnya mencapai kejayaan dengan termeterainya perjanjian yang merintis jalan kepada penubuhan sebuah Zon Selamat (SZ) di satu daripada daerah di tiga wilayah selatan negara ini.
Ketua panel rundingan damai kerajaan Thailand, Jen. Aksara Kerdpol dalam wawancara dengan Bernama di sini berkata, SZ pertama dan bersejarah itu akan menjadi projek perintis sebelum zon serupa diwujudkan di daerah lain di selatan Thailand yang dilanda pergolakan.
“Projek perintis (SZ) ini bukan sahaja akan memberi fokus terhadap isu keganasan, tetapi juga akan menangani masalah lain seperti dadah, penyeludupan barang dan jenayah. Projek pembangunan juga akan dilaksanakan bagi memenuhi permintaan rakyat,” katanya.
Bekas jeneral tentera itu berkata SZ pertama itu akan muncul hanya “beberapa bulan sahaja lagi” setelah kedua-dua pihak begitu tekun berusaha untuk memastikannya menjadi kenyataan, yang seterusnya diharapkan akan membuka jalan ke arah wujudnya kemananan berkekalan di wilayah yang kaya dengan sumber alam itu.
Sejak 2004, konflik yang melanda selatan Thailand telah meragut hampir 7,000 nyawa. Bagaimanapun, jumlah keganasan dan kehilangan nyawa menurun apabila hanya 235 maut tahun lepas, berbanding 309 pada tahun sebelumnya, kata sebuah kumpulan pemantau bebas.
Tahun paling menggerunkan ialah 2007 apabila 892 orang terbunuh.
Menurut Aksara, SZ itu juga akan mempunyai sebuah Rumah Keselamatan.
Bernama difahamkan bahawa rumah itu akan bertindak sebagai Pusat Penyelarasan SZ.
Apabila diminta menyatakan daerah pertama yang akan mempunyai zon itu, Aksara berkata ia hanya akan diumumkan “apabila segalanya sudah siap”.
Keengganan beliau menyatakannya mungkin mempunyai kaitan dengan satu kejadian di Jok Irong, Narathiwat, pada Mac 2016 di mana 50 lelaki lengkap bersenjata, merampas sebuah hospital dan mencetuskan pertempuran selama beberapa jam, yang melibatkan beratus-ratus anggota tentera dan polis.
Kerajaan mendakwa serangan terhadap hospital itu, yang dikutuk banyak pihak, termasuk agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan memperingati ulang tahun ke-56 penubuhan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan terbesar dan paling lengkap bersenjata di selatan Thailand.
Bagaimanpun, banyak pihak, termasuk media tempatan, percaya serangan nekad terhadap hospital daerah itu merupakan usaha untuk menggagalkan cubaan kerajaan menjadikan Jok Irong satu daripada lima SZ yang dirancang dalam rundingan damai berkenaan.
Sementara itu, jurucakap MARA Patani, Abu Hafiz Al-Hakim, dalam kenyataan terbarunya melalui laman sesawang Deep South Watch, berkata “cahaya di hujung terowong’ menjadi semakin jelas pada awal 2018 apabila kedua-dua pihak melakar kejayaan penting dan mencapai persetujuan berhubung penubuhan SZ itu.
Menurut beliau, setelah lebih tiga tahun rundingan damai itu berlarutan, kedua-dua pihak, yang masih dirujuk sebagai “Party A” dan “Party B”, bersetuju meneruskannya, walaupun ia telah terhenti selama beberapa bulan hingga menimbulkan spekulasi ia akan terkubur.
“Ia terhasil daripada mesyuarat JTT (Pasukan Teknikal Bersama) pada 7 Februari 2018, apabila pasukan itu membereskan segala isu tertangguh berhubung penubuhan SZ berkenaan. Hanya setelah mengadakan dua atau tiga mesyuarat sahaja lagi, kedua-dua pihak akan bersedia untuk memulakan operasi SZ itu di daerah yang telah dipersetujui,” katanya.
Walaupun urusan penubuhan SZ berkenaan mencapai kemajuan besar, Abu Hafiz, yang merupakan tokoh utama MARA Patani, memberi amaran tentang cabaran yang perlu dihadapi zon itu dari “‘dalam dan luar”.
“Perbuatan sabotaj oleh penentang dan perosak proses damai ini tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau, sambil menegaskan bahawa badan bukan kerajaan dan pertubuhan sivil memunyai peranan penting dalam SZ itu serta menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Tindakan Bersama (JAC). – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…