LONDON – Sebuah sauh yang dipercayai berasal daripada ‘nahas kapal laut paling berharga’ telah ditemui di kawasan perairan di United Kingdom, demikian menurut laporan akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Ia dipercayai milik kapal Merchant Royal yang hilang di laut pada tahun 1641 ketika keadaan angin kuat dekat Land’s End di Cornwall, England. Kapal laut itu dipercayai membawa harta karun bernilai lebih £1.1 bilion (RM5.9 bilion) dalam kiraan nilai semasa.
Sewaktu ia karam, kapal yang juga dikenali dengan gelaran El Dorado of the seas itu dipercayai membawa muatan 45,360 kilogram emas, 400 batang jongkong perak Mexico dan hampir 500,000 syiling dolar Sepanyol.
Sekumpulan pakar menyatakan sauh itu dibawa naik oleh sebuah kapal nelayan iaitu Spirited Lady kira-kira 32 kilometer dari kawasan pesisir pantai dan menyamai model sama yang digunakan oleh Merchant Royal.
Beberapa kumpulan berusaha mencari bangkai kapal itu sejak beberapa tahun lalu namun, masih belum ada penemuan setakat ini.
Pengasas bersama Arkeologi Maritim Cornwall, Mark Milburn menyatakan dia bersetuju bahawa rekaan sauh menyamai apa yang digunakan oleh Merchant Royal. – Agensi