Sedia 30 Bank Bergerak Untuk 250 Mukim

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM18 juta kepada institusi kewangan domestik bagi menyediakan 30 unit bank bergerak di sekitar 250 mukim seluruh Malaysia.

Mukim berkenaan dikenal pasti tiada atau kekurangan akses kepada perkhidmatan perbankan asas termasuk mesin juruwang automatik (ATM).

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, kemudahan bank bergerak itu dijangka mula beroperasi dalam suku keempat tahun ini.

“Langkah ini adalah antara usaha sedang dilakukan Kementerian Kewangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meluaskan inisiatif bank bergerak dengan kerjasama institusi perbankan seperti yang diumumkan dalam pelan pemulih pada 28 Jun lalu.

“Buat masa ini pemasangan mesin ATM di kawasan bandar atau luar bandar adalah tertakluk kepada pihak industri perbankan.

“Pihak berkenaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos penyelenggaraan ATM dan tahap penggunaan sebagai justifikasi bagi pemasangan ATM di sesebuah kawasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS – Sibuti) mengenai adakah kerajaan bercadang menetapkan satu peraturan tetap mengenai pemasangan mesin ATM di kawasan luar bandar bagi memberi kemudahan wang tunai dan apakah insentif segera kepada pihak bank komersial menyediakan perkhidmatan ATM berkenaan.

Dalam pada itu, Yamani Hafez berkata, sejak April 2020, fi bagi pengeluaran wang tunai sudah dimansuhkan buat sementara waktu bagi memudahkan pengguna untuk mengeluarkan wang di mana-mana ATM.


“Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, dalam usaha meningkatkan rangkuman kewangan dan menambah baik penyediaan kemudahan akses perkhidmatan kewangan, pelbagai saluran atau strategi diguna pakai untuk memastikan orang ramai dapat mengakses perkhidmatan perbankan asas dengan mudah.

“Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kewangan berasaskan teknologi, digital seperti perbankan Internet dan mudah alih serta e-dompet di mana transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana, pada bila-bila masa sahaja dengan selamat, cepat serta mudah.

“Bagaimanapun Kementerian Kewangan mengambil maklum, masih terdapat keperluan untuk penyediaan transaksi tunai terutama di kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur Internet mencukupi dan stabil.

“Jadi selain daripada mesin ATM, antara saluran lain yang disediakan oleh institusi perbankan ialah ejen bank dan juga bank bergerak,” katanya yang memberitahu bank yang menyediakan khidmat ejen sudah memberi komitmen untuk meluaskan perkhidmatan itu secara berperingkat dan lakukan penambahbaikan.

Ejen bank berkhidmat untuk mengambil deposit, mengendalikan pengeluaran wang, mengendalikan pemindahan dana dan wang, menerima pembayaran pinjaman dan pembiayaan, mengendalikan pembayaran bil dan membuka akaun simpanan. – myMetro Online

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Hujan Lebat, Ribut Petir Di Dua Negeri Malam Ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi Negeri Sembilan...

UMNO Miliki Peluang Besar Menang PRN Johor

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) negeri khususnya UMNO mempunyai peluang besar untuk merekod kemenangan...

PRN Johor Perlu Diadakan Kerana Kedudukan Kerajaan Negeri Rapuh

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam...

BN Atau BN Plus, Tunggu Keputusan Pimpinan Pusat UMNO – Hasni

JOHOR BAHRU: Sebarang keputusan untuk melibatkan parti-parti luar UMNO dan Barisan Nasional dalam menghadapi...

PAS Belum Putus Ikut PN Atau MN Dalam PRN Johor

KOTA BHARU: PAS mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun belum menetapkan...

PH Johor, MUDA Bincang Kerjasama Hadapi PRN

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor mengadakan perbincangan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)...

Sultan Johor Perkenan Bubar Dewan Undangan Negeri Johor

KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani...