SEJAK Tun Dr. Mahathir kembali menerajui negara, segala tingkah laku dan apa sahaja yang dipakai oleh Perdana Menteri Malaysia ini cepat sahaja tersebar.
Terbaharu, gambar beliau sedang duduk di kerusi dengan hanya berkaki ayam ketika berada di dalam sebuah majlis makan malam mula tersebar menerusi laman sosial.
Gambar yang dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram, @azranshah itu menjadi tumpuan dengan jenama sandal yang disarung Mahathir, 92, itu hangat diperkatakan.
Dapat jelas dipastikan bahawa sandal yang digunakan oleh Perdana Menteri tertua di dunia itu adalah produk biasa daripada jenama Bata yang hanya berharga RM12.
Secara sengaja atau tidak, laman Facebook rasmi Bata turut mengeluarkan semula sandal berkenaan dengan memuat naik promosi terbaharu berbunyi:
“Ramadan 2018, aksesori ‘panas’ yang dipakai oleh Tun M, boleh didapati di Kedai Bata terdekat atau pembelian secara atas talian”.
Selain itu, seorang netizen telah bertanyakan apakah gambar selipar berkenaan sama seperti yang dipakai Tun Dr. Mahathir dan pihak Bata mengesahkan perkara itu.
“Ya, ini adalah selipar keluaran Bata yang sudah berada di pasaran lebih 20 tahun dan hari ini pengguna laman sosial telah berkongsi gambar Tun memakainya. Bata yakin ini adalah selipar berkenaan,” jawab Bata.
Tun Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri ketujuh Malaysia setelah gabungan Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. – MYNEWSHUB.CC