JIKA diperhatikan wajah penyanyi genit Shiha Zikir saling tak tumpah seperti penyanyi terkenal dari tanah seberang, Datuk Rossa.
Malah, peminat turut pernah menggelarkan Shiha sebagai kembar kepada diva tersohor itu.
Mengulas lanjut mengenai persamaan dari segi paras rupa mereka, Shiha, 30, mengatakan dia tidak pernah mahu meniru imej mahupun identiti Rossa.
“Datuk Rossa salah seorang penyanyi favourite saya sejak dari sekolah lagi. Tapi kalau kata saya nak mengikut dia (tiru imej) itu tidak langsung. Kalau Shiha tak make up pun orang kata Shiha macam dia masalahnya, yang penting Shiha jadi diri Shiha sendiri.
“Sebab orang tak cakap Shiha menyanyi atau pakai macam Rossa tapi orang cakap rupa (seiras), rupa sama nak buat macam mana, mungkinlah ada iras sedikit, tapi kalau kata Shiha nak meniru dia, tidak sama sekali,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada majlis pelancaran muzik video single terbaharunya yang berjudul Seperti Novel Cinta di Damansara, baru-baru ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai namanya yang masih lagi kurang menyerlah di kalangan peminat di tanah air jika dibandingkan di Indonesia, Shiha mengatakan itu semua adalah rezeki daripada Ilahi.
“Semua bergantung kepada rezeki, Shiha masuk industri sejak berusia 18 tahun adalah untuk mencari rezeki semata-mata, bukan untuk mengejar populariti.
“Shiha bersyukur sebab ada orang-orang yang sentiasa sokong karier, Shiha sangat menghargai itu,” katanya yang kini menpunyai hampir 820,000 pengikut di laman Instagram.
Kenaikan mendadak jumlah peminatnya di laman sosial popular itu adalah berikutan kejayaannya yang berjaya menduduki tempat ketiga pertandingan D’Academy Asia tahun lalu.
Pertandingan nyanyian itu melibatkan peserta dari empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Sementara itu, muzik video Seperti Novel Cinta hampir mencecah 6,000 tontonan sejak ia mula dimuat naik di laman perkongsian video Youtube, Rabu lalu. – MYNEWSHUB.CC