SIAPA yang tidak kenal dengan pemilik vokal lagu Patah Seribu? Anak kepada ND Lala, Shila Amzah bakal menggegarkan pentas Arena Of Stars, Genting Highlands menerusi Shila Amzah ‘My Journey’ Concert in Malaysia 2017.
Konsert yang bakal diadakan pada 26 Ogos ini nanti merupakan konsert keduanya selepas konsert sulung yang bertemakan cinta telah diadakan pada 2014 di China dan juga Malaysia.
Menurut portal online Khir Khalid, konsep persembahan untuk konsert kali ini mengetengahkan perjalanan karier Shila Amzah dalam industri muzik dari awal pembabitannya sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.
Ianya sedikit berbeza dengan konsep konsert pertama, Love Concert Shila Amzah 2014 yang mengetengahkan cinta sebagai tema kerana Shila percaya keamanan dan keharmonian dunia dapat dikecapi menerusi tema ini.
Juara program Asian Wave 2012 ini juga telah mengadakan sesi bertemu peminat pada 12 Ogos lalu di Mahkota Parade, Melaka bersempena dengan konsert My Journey yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Kini, penyanyi yang sinonim dengan jolokan Asia’s Sweetheart ini bukan sahaja melibatkan diri dalam dunia hiburan, malah Shila telah melebarkan sayapnya ke dalam bidang perniagaan menerusi butik pakaian, SA by Sheila Amzah yang terletak di Bangi Sentral.
Kepada sesiapa yang ingin join konsert penyanyi yang baru berumur 27 tahun ini, bolehlah dapatkan tiket sebelum sold out ya! Harga tiket pula bermula dari RM108.00.
Tahniah dan good luck diucapkan kepada Shila Amzah. Semoga konsert yag bakal diadakan ini berjalan dengan lancar kelak. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim