SINIS… Semalam, Malaysia menjadi bahan jenaka komuniti perniagaan seluruh dunia apabila perdana menteri berjaya melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad.
Ia turut lakar sejarah kerana buat julung kalinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu risau minta izin sebarang keputusan perdana menteri baharu kerana bekas perdana menteri keempat itu sudah pasti akan beri ‘kelulusan’.
Turut kongsi ‘berita gembira’ ini ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik dalam akaun sosial Twitter miliknya mengenai isu pelantikan itu sebagai siri penipuan terkini Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana manifesto blok politik tersebut dengan jelas menyatakan bahawa pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan (GLC) tidak akan melibatkan mana-mana tokoh politik daripada parti komponen itu sendiri.
Beliau secara sinis bagaimanapun memberi alasan, situasi lantikan politik dalam GLC terbabit mungkin disebabkan manifesto PH itu sendiri pun bukanlah sebuah janji yang perlu dipatuhi oleh pihak pentadbiran kerajaan baharu.
“Sebab itulah tidak perlu lantik lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad dalam kalangan profesional,” kata Asyraf Wajdi secara nada sindiran menerusi laman Twitter miliknya itu yang turut tular diperkatakan netizen.
Manifesto berkenaan ada menyebut bahawa Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan profesional serta bukan berdasarkan kaitan politik mereka.
Semalam Pejabat Perdana Menteri dengan bangga mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad baharu, berkuat kuasa serta-merta sebagai menggantikan mereka yang letak jawatan minggu lepas.
Ia menjadi bahan jenaka netizen kerana antara ahlinya termasuklah Perdana Menteri sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengarah.
Ada menyifatkan Mahathir, 93, membuktikan dirinya menjadi contoh terbaik sikap Melayu yang mudah benar lupa sebagai mana puisi malar dirinya suatu ketika dahulu iaitu ‘Melayu mudah lupa!‘. – Agensi/Mynewshub.TV