BAGI yang tidak pernah rasai suasana musim salji, sebuah kafe di Pulau Pinang beri peluang kepada anda sendiri kedinginan musim salji ala Eropah dengan suhu capai 10 darjah Celsius.
Inilah keunikan Ice Cafe di Lebuh Victoria di George Town, di mana ia bukan sekadar ais pada nama atau papan tanda semata-mata tetapi ais merupakan konsep dan tema kafe itu.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Ice Cafe, Hazlami Rosli, berkata tema konsep ais pada kafe itu merupakan yang pertama di Malaysia, di mana pengunjung dapat menikmati pelbagai sajian hidangan bertemankan pemandangan seolah-olah sedang berada di Kutub Utara.
“Dengan suhu 10 darjah Celsius, pengunjung berpeluang merasai pelbagai menu pencuci mulut seperti aiskrim, buah-buahan serta kek lazat yang disajikan oleh kafe tersebut. Mala, menu ditampilkan punya cita rasa tersendiri.
“Kita mahu pelanggan bukan sahaja rasa sejuk, tetapi suasana persekitarannya juga sejuk seperti ala ‘frozen’. Jika kita lihat dalam kafe ini, ada salji. Jadi kita mahu bawa konsep itu,” kata Hazlami kepada Bernama baru-baru ini.
MAKANAN TRADISIONAL ANTARA MENU ICE CAFE
Hazlami berkata selain hiasan menarik, Ice Cafe turut menyajikan menu-menu pencuci mulut iaitu aiskrim kandar, rojak aiskrim dan kiwi grape yang dihidangkan dalam mangkuk yang diperbuat daripada ais.
“Istimewanya di sini menunya adalah lain dari yang lain. Kami mencipta sendiri menu tersebut. Kami cuba mengetengahkan makanan-makanan tradisional dan makanan lazim di Pulau Pinang seperti aiskrim kandar.
Selalu di Pulau Pinang terkenal dengan nasi kandar, di sini kami pamerkan aiskrim kandar di mana rencahnya lebih kurang sama dengan nasi kandar tetapi versi aiskrim.
“Begitu juga dengan kiwi grape di mana mangkuk hidangan kita buat daripada ais, betul-betul ais, itu keistimewaan Ice Cafe yang tiada di tempat lain,” katanya yang bakal memperkenalkan menu terbaru iaitu ais krim tom yam.
Selain menu, Hazlami berkata pengunjung juga berpeluang merakam gambar dan detik indah di dalam kafe itu yang persekitarannya bersuasanakan kiub ais dan salji.
Hazlami berkata pihaknya turut merancang untuk membuka kafe bertemakan konsep sama di Kuala lumpur atau Melaka pada masa akan datang. – BERNAMA