DICEKUP… Seorang lelaki yang gelar dirinya Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar D’zulkarnain kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi bantu siasatan polis.
Ia membabitkan kesalahan perdaya dan tujuan menipu. Suspek berumur 47 tahun yang sebelum ini mendakwa dia memiliki kekayaan di negara ini serta mempunyai kaitan dan kepentingan di beberapa negara lain.
Dia yang dakwa sebagai Sultan Malaysia berjaya ditahan pada Ahad lalu, sehari selepas biat sidang akhbar di sebuah kem modal insan di Sungai Rambai, menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu.
Beliau berkata, suspek ditahan oleh pasukan khas diketuai dirinya kira-kira pukul 3 petang susulan satu laporan polis dibuat Ketua Balai Polis Sungai Rambai sendiri berhubung sidang akhbar berkenaan.
“Dalam sidang akhbar dihadiri 100 pengikut itu, suspek yang dakwa dirinya pemerintah keseluruhan Malaysia turut mempamerkan beberapa barangan artifak dikatakan milik diraja sebagai bukti beliau merupakan pemerintah sah.
“Berikutan laporan yang telah dibuat, polis menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan merampas kesemua artifak digunakan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di Jasin, Melaka.
Kata Arshad, antara yang dirampas pihak polis termasuklah 10 bilah keris, sebatang tombak, lapan bilah pedang, satu dulang tembaga dan satu jade bersalut tujuh gambar naga.
Tambah beliau lagi, pihak polis turut merakam percakapan seramai 20 individu pertubuhan tersebut bagi bantu siasatan dengan lebih lanjut.
“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati dia mempunyai empat rekod lampau di bawah kesalahan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di Perak,” kata Arshad. – Agensi/Mynewshub.TV