ALOR SETAR – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff berangkat ke Pameran Keris sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 di Balai Seni Negeri di sini, hari ini.
Baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam di ruang pameran yang mempamerkan 100 bilah keris daripada 10 pengumpul keris lama dari beberapa buah negeri yang dipamerkan di situ sejak dua hari lepas.
Hadir mewakili Menteri Besar Kedah ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Firdaus Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (Pelancongan), Zainizam Zainol berkata pameran tersebut pertama kali diadakan di negeri ini bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat keris yang pernah digunakan masyarakat Melayu dahulu untuk mempertahankan diri.
“Kita mendapat kerjasama Syarikat Peninsular Ventures Sdn Bhd dan sejak dibuka, ramai anak muda datang berkunjung melihat sendiri keris lama yang unik dan kaya dengan seni pembuatannya yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Keris yang dipamerkan juga ada kisah tersendiri dan antara yang terbaik dibawa pemiliknya ke sini dari pembuatan bilah, bentuk hulu, sampir dan sarungnya, di sini ada keris yang mempuyai 25 lok dan ada keris berhulukan sundang yang dipercayai berasal dari Pattani, Thailand,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas beliau, keris merupakan simbol kuasa dan alat kebesaran pemiliknya, malah menunjukkan status kedudukan seseorang dalam masyarakat.
“Ini salah satu usaha atau aktiviti kita untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa pemakaian keris amat besar ertinya dan fungsi keris dalam masyarakat terdahulu cukup besar.
“Insya-Allah selepas ini kita merancang untuk mengadakan pameran destar atau tengkolok pula untuk tatapan generasi muda,” ujar beliau.
Pameran keris tersebut akan tamat pukul 7 malam hari ini dan orang ramai khususnya di daerah ini masih berpeluang berkunjung ke Balai Seni Negeri untuk melihat keris-keris tersebut. – BERNAMA