KUALA LUMPUR – Takaful Ikhlas Bhd hari ini mengumumkan penukaran lesen takaful kompositnya kepada dua entiti untuk menjalankan perniagaan takaful keluarga dan takaful am secara berasingan.
Penukaran itu dibuat mengikut keperluan undang-undang berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).
Takaful Ikhlas akan dinamakan semula sebagai Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful Ikhlas Family) dan menjalankan perniagaan takaful keluarga, manakala perniagaan takaful am akan diuruskan oleh entiti baharu, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas General).
Langkah itu bertujuan melaksanakan usaha yang lebih bertumpu untuk memenuhi keperluan pelanggan secara lebih baik, menurut Takaful Ikhlas dalam kenyataan.
Struktur baharu berkenaan akan membuktikan komitmen Takaful Ikhlas terhadap perniagaan berkaitan untuk memastikan kecekapan pengurusan modal dan sumber dalam mencipta peluang bagi pertumbuhan berterusan, menurut syarikat tersebut.
Menurut Takaful, bagi menerajui struktur korporat baharu itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MNRB Holdings Bhd, Mohd Din Merican akan menjalankan tanggungjawab tambahan sebagai Presiden dan CEO Takaful Ikhlas Family.
Eddy Azly Abidin, yang sebelum ini Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful Ikhlas, dilantik sebagai Presiden dan CEO Takaful Ikhlas General.
Mohd Din berkata walaupun pihaknya kini beroperasi sebagai dua entiti berasingan, mereka akan terus mendukung jenama Takaful Ikhlas dan komited menyediakan yang terbaik untuk pelanggan dan memacu nilai pemegang saham jangka panjang.
“Semua terma dan syarat dalam siji takaful sedia ada yang dikeluarkan oleh Takaful Ikhlas kekal tidak berubah. Semua maklumat hubungan kami serta pejabat cawangan akan dikekalkan untuk memudahkan urusan pelanggan,” katanya.
Pelanggan boleh melayari www.takaful-ikhlas.com.my atau hubungi Perkhidmatan Pelanggan Takaful Ikhlas di 03-2723 9696 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Takaful Ikhlas Family dan Takaful Ikhlas General. – BERNAMA