TAHNIAH kami ucapkan buat komposer dan penyanyi, Tam Spider kerana telah selamat menimang cahaya mata yang keempat hasil perkongsian hidup bersama isteri, Aida Mustafa.
Doa dan impian Tam Spider untuk menimang cahaya mata perempuan termakbul setelah isterinya selamat melahirkan seorang puteri yang comel, semalam.
Aida melahirkan rasa bersyukur di atas kelahiran cahaya mata hasil perkahwinan mereka itu selain memberitahu dia dan bayi dalam keadaan sihat walafiat.
“Saya masuk hospital lebih kurang jam 10 pagi, kemudian jam 12 lebih masuk bilik pembedahan dan lebih kurang jam 1, selamat bersalin.
“Oleh kerana dua anak terdahulu lahir dengan menggunakan kaedah pembedahan, untuk anak ketiga ini pun kena bedah juga. Tak apalah yang penting anak selamat dan segalanya berjalan lancar.
“Alhamdulilah abang Tam, dah ada tiga anak lelaki Alif, 24, Afiq, 8, Aqil, 5, dan kali ini dapat pula anak perempuan, syukur,” katanya dipetik Sinar Online.
Ditanya bilakah pasangan ini akan berkongsi wajah dan nama puteri sulung mereka, Aida berkata dia serahkan kepada suaminya yang kini sedang sibuk dengan persiapan Mentor Otai final pada Ahad ini.
Sekali lagi tahniah, Mynewshub ucapkan buat pasangan ini. Kami mendoakan semoga kehadiran bayi itu membawa kebahagiaan di setiap langkah hidup. Insya-Allah. – MYNEWSHUB.CC/AM