KUANTAN – Tiga kenderaan rosak apabila sebuah tangki air Sekolah Menengah Agama Chenor, Maran dekat sini, terjatuh hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata kejadian berlaku pada 6.15 pagi dan semua kenderaan tersebut berada di tempat letak kereta berhampiran tangki air itu.
“Siasatan awal mendapati tangki air yang terletak kira-kira 60 kaki dari aras tanah pecah terlebih dahulu sebelum jatuh menghempap kenderaan terlibat.
“Kejadian, bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pengetua sekolah terbabit Sharifah Hasaniah Syed Abd Rahman mengakui bahawa tangki air itu sudah 20 tahun digunakan.
Katanya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pengurusan Air Pahang Berhad dan Jabatan Kerja Raya membantu pihak sekolah membersihkan tempat kejadian. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..