Trend ‘Unboxing Isteri’ Boleh Bawa Keruntuhan Institusi Keluarga

Kuala Lumpur: Trend ‘unboxing isteri’, termasuk pengantin lelaki membantu membuka tudung pengantin perempuan yang dirakam sebelum video itu tular dalam media sosial, boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, menegaskan pandangan itu kerana ia membabitkan bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi keluarga, yang dilihat bertindak tidak mengikut landasan nilai betul.

“Masyarakat hari ini hidup dalam zaman bercampur baur antara perkara halal dengan haram.

“Hal ini bukan perkara pelik, melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’ (pengikut).

“Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’ (kandungan),” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam aplikasi TikTok mengenai trend ‘unboxing’ dalam kalangan pasangan pengantin baharu.

Melalui video yang tular, pengantin lelaki dilihat membantu membuka tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori pada bahagian kepala isteri.

Dalam video itu, wanita berkenaan dilihat masih memakai busana pengantin dan ia dirakam sendiri oleh pengantin perempuan terbabit yang duduk di hadapan cermin.

Ahmad Marzuk berkata, susulan memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019–2025.


Beliau berkata, pelan itu diperkenalkan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Antara langkah diperkenalkan melalui pelan itu ialah penetapan agar setiap agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mesti memanfaat dan mengoptimumkan penggunaan media massa serta media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

“Perancangan pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kerjasama holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam kini.

“Justeru selain menjelaskan hukum Islam yang melarang trend ‘unboxing isteri’ ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosikan nilai keluarga Islam, terutama dalam saluran media baharu yang ada,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perbuatan ‘unboxing isteri’ adalah jelas bertentangan prinsip dan budaya Islam.

Beliau dipetik berkata, suami sepatutnya melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada mendapat kemurkaan Allah, di samping menyeru mereka supaya taat kepada perintah serta meninggalkan larangan-Nya.

BHonline-

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Keyakinan UMNO, Kejujuran PAS

Beberapa pimpinan PAS menyatakan hasrat untuk melihat parti itu kembali bekerjasama dengan UMNO di...

PH Hipokrit Kecam PRN Johor

Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan rasmi mengkritik Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Gabungan parti DAP,...

32 Syarikat Dibenar Import Ayam Bulat Sejuk Beku

Jertih : Kerajaan sudah memberi kelulusan untuk mengimport ayam bulat sejuk beku ke Malaysia...

Zii Jia Kemuka Rayuan Kepada BAM

KUALA LUMPUR : Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah menghantar surat rayuan...

Khamis Keputusan Rayuan Najib Kes AMMB

PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada Khamis ini sama ada membenarkan atau tidak...

Pertemuan Muafakat Nasional Johor Ditangguh

JOHOR BAHRU : Pertemuan antara gabungan Muafakat Nasional (MN) negeri melibatkan Pas Johor dan...

Plus, TnG Diarah Perinci Kos RFID

KUALA TERENGGANU – Penilaian akan dilakukan terhadap caj pemasangan sekeping pelekat teknologi Identifikasi Frekuensi...