KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) meningkat kedudukan ke tangga ke-99 dalam ‘2019 Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings’, menjadikannya satu-satunya universiti swasta dalam negara dalam senarai 100 terbaik.
UTP meningkat dengan ketara dalam ranking itu setelah melonjak 92 kedudukan sejak ia bermula pada 2014.
Kedudukan ke-99 itu merupakan pencapaian tertinggi universiti dalam ‘QS Asia University Rankings’. Ia berada pada tangga ke-101 dalam ranking 2018.
Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata analisis ke atas keputusan ranking menunjukkan penambahbaikan dalam tiga penunjuk, iaitu kertas mengikut fakulti, fakulti antarabangsa, dan pelajar pertukaran masuk dan keluar, yang meletakkan universiti itu menjadi 100 teratas.
“Mengenai masa hadapan, kami akan meneruskan fokus utama kami dalam menyediakan program akademik yang unggul, penyelidikan inovatif dan memperkaya pengalaman para pelajar dalam usaha kami menuju keunggulan global.
“Matlamat kami sekarang ialah untuk menduduki 50 tempat teratas dalam QS Asia University Rankings menjelang 2020,” katanya. – BERNAMA