PUNCAK ALAM – Ibarat sudah profesional, seorang pencuri tabung surau dengan selamba menjadikan kerja itu sebagai kariernya.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi, Jumaat lalu di Surau Al-Falah, Astana Alam 3, suspek yang berbadan gempal dilihat masuk ke surau berkenaan dengan membawa sebuah beg galas berisi alatan pemotong besi.
Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), suspek mengeluarkan ‘extension wire’ dan menyambungkannya pada soket berhampiran bagi menghidupkan alatan pemotong besi lalu memotong selak tebung tersebut.
Selesai memotong di bahagian atas dan di bahagian kunci tabung itu, suspek kemudian menyimpan peralatannya dan keluar seketika sebelum kembali semula dengan sebuah beg plastik.
Suspek bersama beg plastik berkenaan dengan ligatnya mengambil kesemua duit dalam tabung tersebut sebelum beredar dari surau tersebut.
Berdasarkan modus operandi dan bentuk fizikal, suspek dipercayai merupakan individu yang sama dalam kejadian pecah tabung masjid di Masjid Nurul Iman di Rawang, awal Jun lalu. – MYNEWSHUB.CC