SIBU – Rakaman video orang ramai sibuk mengorek lubang dan mengutip kepak ayam sejuk yang dibuang di kawasan tapak pelupusan sampah di Bukit Aup, di sini menjadi tular di laman sosial.
Rata-rata dilihat berpusu-pusu bawa guni dan besen bagi mengutip semula tiga tan kepak ayam yang dilupuskan sejak Jumaat lalu. Ia terletak 11 kilometer dari bandar Sibu dan 420 kilometer dari ibu negeri Sarawak, Kuching.
Seorang penduduk enggan dikenali mengatakan sekurang-kurangnya antara lima hingga enam kontena kepak ayam ditanam di lokasi berkenaan, sekali gus mengubah suasana di kawasan terbabit seperti tapak ‘pesta kepak ayam’.
“Saya sendiri sudah memperoleh hampir seguni kotak ayam. Ada yang masih dalam keadaan baik dan beku ketika ditanam di kawasan ini,” katanya dipetik akhbar tempatan The Borneo Post.
Tambahnya, dia sendiri tidak mengetahui dari mana sumber kepak ayam ini diperoleh dan berasa musykil mengapa sumber makanan yang masih elok dibazirkan begitu sahaja.
Namun lapor harian berbahasa Inggeris tersebut lagi, ada dakwaan juga yang menyatakan konon kepak berkenaan terpaksa dibuang kerana tidak boleh dimakan atas alasan kesihatan.
Bagaimanapun menurul The Borneo Post, kepak ayam berkenaan dimusnahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Jumaat lalu susulan pemiliknya gagal membayar cukai berkaitan.
Difahamkan, antara lima atau enam kontena dingin beku mengandungi kepak ayam berkenaan dibawa masuk dari Semenanjung, khusus bagi menampung keperluan di wilayah tengah negeri ini. – MYNEWSHUB.CC