Pendedahan Konspirasi Gula Daripada Produk Milo

BARU-BARU ini, tersebar rakaman video berkenaan pendedahan kandungan gula yang tinggi dalam minuman malt Nestle di bawah jenama Milo.

Pendedahan tersebut dikongsikan oleh seorang entrepreneur terkenal, Vishen Lakhian, yang merupakan pengasas laman Mindvalley dan ia dikongsikan menerusi laman Facebooknya.

Katanya, produk minuman malt coklat kegemaran ramai itu merupakan salah satu punca utama mengapa rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti.

“Saya berasa berasa sangat marah hari ini, kenapa? Ia berikutan artikel yang dikeluarkan The New York Times.

“Dalam artikel tersebut mengatakan negara Asia tertinggi masalah obesiti (Malaysia) mengambil keuntungan daripada sebuah syarikat makanan gergasi (Nestle).

“Biar saya tunjukkan kepada anda antara produk yang dimaksudkan, iaitu Milo.

“Milo yang terkenal dengan tagline ‘Minum Milo Anda Jadi Sihat Dan Kuat’ ini  sebenarnya mempunyai 40 peratus kandungan gula,” tegas Vishen.

Beliau turut mendedahkan produk Nestle yang lain juga turut mengandungi kandungan gula tinggi, namun ia masih mendapat pengiktirafan daripada pihak berkuasa Malaysia sebagai makanan sihat.

“Ini adalah bijirin Honey Stars, antara produk bijiran yang mempunyai kandungan gula tertinggi di pasaran.

“Namun Nestle telah membayar jutaan ringgit kepada kerajaan bagi mendapat pengiktirafan sebagai makanan ‘sihat’ dan penuh nutrisi,” katanya.

Katanya lagi, kadar gula yang tinggi dalam setiap produk ini juga akan memberikan kesan lapar dan seterusnya membuatkan orang ramai kembali membeli produk-produk berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian memuat naik video baharu bagi menjawab respon yang diterimanya oleh pihak Nestle Malaysia baru-baru ini.

“Ini membuatkan saya untuk mengkaji lebih mendalam berkenaan apa yang Nestle telah lakukan selama ini.

“Fakta terkini yang baharu saja saya temui ini agak ‘mengganggu’ dan biar saya terangkan. Nestle mahukan iklan yang memberitahu kanak-kanak untuk minum Milo setiap hari.

“Mereka beritahu Milo memberikan tenaga dan apa yang mereka tidak beritahu adalah Milo sebenarnya menjadikan anda gemuk.

“Tiada atlit sukan pun setahu saya yang akan memasukkan minuman ini ke dalam badan mereka dan tenaga ini datang daripada gula yang tinggi,” ujarnya.

Beliau secara jelas, merungkaikan bagaimana pihak Nestle cuba ‘menyaran’ ibu bapa agar menambah gula-gula ini dalam setiap hidangan.

“Kebanyakkan kanak-kanak di Amerika Syarikat (US) dan United Kingdom (UK) minum susu kerana ia mengandungi kebagaikan gula semula jadi seperti laktosa.

“Namun Nestle pula menyarankan ibu bapa di Asia dan beberapa negara membangun supaya mencampurkan ini (Milo) ke dalam susu.

“Dalam sebuah laporan yang dikeluarkan Nestle, mereka menyatakan hanya menggunakan 6 gram kandungan gula dalam segelas Milo.

“Ini sebenarnya tidak betul, di belakang tin Milo ini menyatakan terdapat tiga sudu teh Milo. Tiga sudu Milo ini secara kasarnya mempunyai 9 gram gula.

“Jadi anda ingin tahu bagaimana 9 gram gula rupanya seperti apa?” katanya.

Dengan menggunakan perumpaan tiga biji gula-gula, Vishen memberitahu kandungan campuran gula dalam setiap bancuhan Milo dan itu belum dicampurkan lagi dengan susu pekat manis.

“Ini adalah tiga gula-gula daripada Nestle. Masing-masingnya mempunyai 3 gram gula.

“Nestle cuba mengiklankan kepada ibu bapa di Malaysia supaya menambah Milo ke dalam susu, yang mana bersamaan dengan meletakkan tiga paket gula-gula berkenaan.

“Jadi apa yang anda rasa kesan daripada gula-gula ini kepada kanak-kanak?

“Kandungan gula yang disarankan seharian untuk orang dewasa hanyalah 25 gram. Tetapi segelas Milo sahaja sudah mencapai 20 gram gula.

“Rakyat Malaysia juga sudah semestinya tahu proses bancuhan Milo tidak setakat menggunakan serbuk itu sahaja, mereka akan menambahkan susu pekat manis bagi menambahkan rasa manisnya.

“Penambahan susu pekat manis ini secara tidak langsung menghasilkan ‘Sugar Bomb’ yang mengandungi 40 gram gula dalam minuman kanak-kanak pada setiap pagi,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

- Advertisement -spot_img
- Advertisement -spot_img

Latest article