SELEPAS terlibat dalam filem Abang Long Fadil 2, ikon fesyen negara, Wak Doyok masih belum lagi menerima sebarang tawaran daripada produksi lain, setakat ini.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd. Azwan Md. Nor itu, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk terus bergelar pelakon selagi filem pertama lakonannya itu masih belum ditayangkan.
“Takkan saya hendak tawarkan diri sendiri tetapi sekiranya ada tawaran, mungkin saya akan membertimbangkannya. Tetapi buat masa ini masih belum ada apa-apa tawaran.
“Filem pertama saya pun masih belum ditayangkan. Saya juga tidak terburu-buru dalam soal lakonan kerana saya masih baru dalam bidang tersebut,” kata Wak Doyok kepada mStar Online.
Tambahnya, dia juga yakin jika lakonannya dalam filem itu mendapat sambutan dari penonton, tawaran untuk berlakon akan datang dengan sendirinya.
“Ia merupakan filem pertama saya dan kena tengok dahulu lakonan saya okey atau pun tidak.
“Jika ia mendapat sambutan yang baik dan filem ini meletup, Insha Allah lebih mudah untuk saya mendapatkan tawaran yang lain dan begitu juga sebaliknya,” jelas Wak Doyok. – MYNEWSHUB.CC