SINGAPURA – Selepas 47 tahun, individu Melayu akhirnya bakal mengisi jawatan presiden republik itu susulan pindaan Rang Undang-undang Pilihan Raya Presiden selepas diluluskan Isnin lalu.
Uniknya, jika presiden pertama Singapura dipegang oleh Tun Yusof Ishak, seorang tokoh Melayu terkenal yang juga pengasas syarikat akhbar berpengaruh tempatan, Utusan Melayu, kali ini republik itu bakal melakar sejarah baharu.
Nama Speaker Parlimen, Halimah Yacob, kini mula disebut-sebut sebagai wanita pertama akan mengisi jawatan tertinggi republik itu malah dijangka menang mudah jika pilihan raya presiden berlangsung sekitar September ini.
Menjadi ahli perwakilan berkelompok kawasan (GRC) Marsiling-Yew Tee sejak 2001, wanita berusia 62 tahun itu pernah menjadi menteri Kabinet dari 2011 selama tiga tahun sebelum dilantik ke jawatan sekarang pada 2013.
Berbeza dengan Yusof yang dipilih sebagai gabenor Singapura pada 1959 sebelum menjadi presiden sulung republik itu selepas berpisah daripada Malaysia pada 1965 sehingga meninggal dunia pada 1970, kisah Halimah lebih unik.
Selain menjadi orang Melayu kedua mengisi jawatan Speaker Parlimen selepas Abdullah Tarmugi, bekas peguam dan graduan undang-undang Universiti Singapura itu pernah aktif dalam kongres kesatuan sekerja kebangsaan.
Ini berbeza latar belakang Yusof dalam bidang kewartawanan sebelum ‘terjun’ ke dunia politik kerana kebetulan peguam Utusan Melayu ketika itu, Lee Kuan Yew adalah rakannya sendiri sebelum menjadi perdana menteri.
Sebagai menghargai jasa allahyarham, potret Yusof kemudian diabadikan sebagai muka hadapan mata wang dolar Singapura selain dinamakan untuk institut kajian sains politik Asia tenggara dan sebuah masjid baharu di sini.
Baca: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura
Juga: Akhirnya Baru Ada Masjid Nama Presiden Singapura
Nama Halimah bagaimanapun mula menjadi popular apabila Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing dua kali tersasul merujuk beliau sebagai ‘Madam President’Ā daripada ungkapan kelaziman ‘Madam Speaker’.
Ia berlaku spontan secara tidak sengaja ketika membahaskan pindaan rang undang-undang pemilihan presiden itu pada 6 Februari lalu sehingga menjadi bahan tular dalam kalangan netizen media sosial di Singapura sendiri.
Singapura ketika ini sudah lima penggal tidak mempunyai presiden dari kalangan kaum Melayu dan keadaan itu mengundang perasaan ‘kecewa’ apabila etnik minoriti pribumi tersebut dikatakan berasa seperti dipinggirkan.
Pemerintah republik itu bagaimanapun cuba memperbetulkan situasi janggal itu dengan memenangi semula ‘hati’ mereka apabila mula melantik beberapa wakil GRC Melayu mengisi jawatan Kabinet selain pentadbiran awam.
Presiden sekarang, Tony Tan Keng Yam bakal tamat penggal perkhidmatan pada 31 Ogos dan pilihan raya jawatan itu kemungkinan diadakan pada bulan berikutnya berbanding kelaziman selepas Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Pada November lalu, stesen penyiaran milik pemerintah,Ā Channel NewsAsiaĀ menyiarkan dokumentari khas bertajuk ‘Singapore’s next president: A look at potential contenders’Ā dengan menampilkan banyak tokoh Melayu terkenal.
Selain Halimah, antara calon berpotensi lain ialah Abdullah, 72, sendiri kerana pengalaman luas beliau sebagai ahli GRC dari 1984 hingga 2011 di samping menjadi menteri Kabinet (1993 – 2002) dan speaker parlimen (2002 – 2011).
Turut ditonjolkan ialah dua menteri Kabinet,Ā Yaacob Ibrahim dan Masagos Zulkifli, serta bekas ahli GRC, Zainul Abidin Rasheed dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore, Bahren Shaari. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA