Rencana 1 Tajuk: Masih Ramai Terpedaya Taktik Lapuk Macau Scam Seorang peniaga wanita di Johor rugi lebih RM1 juta selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Wang RM1 juta amat besar nilainya. Malang sungguh wang sebanyak itu diserahkan kepada penjenayah hanya kerana terpedaya dengan taktik lapuk sindiket Macau Scam. Taktik penipuan menyamar sebagai pegawai LHDNM bukan baru berlaku, sebaliknya aktiviti jenayah itu telah sangat lama beroperasi memangsakan rakyat Malaysia. Ironinya sudah terlalu banyak pendedahan dibuat mengenainya termasuk oleh LHDNM sendiri, namun masih ada dalam kalangan kita mudah diperangkap. Tidak pasti mengapa. Adakah kerana mangsa terlalu banyak wang, maka bersedia untuk akur apa sahaja kepada tuntutan yang dipinta kerana malas mahu pening kepala atau sememangnya begitu naif untuk mengesyaki sebarang unsur penipuan? Sudah banyak kali LHDNM mengingatkan kepada anggota masyarakat supaya tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang membuat panggilan telefon dan mengaku sebagai pegawainya bagi membuat tuntutan wang. Perkara paling asas iaitu LHDNM tidak nembuat membuat panggilan kepada pembayar cukai menggunakan nombor telefon bimbit bagi sebarang panggilan rasmi pun masih ada boleh terpedaya dengan taktik lapuk "scammer" Berulang-kali LHDNM berpesan kepada masyarakat supaya membuat semakan dengan hadir ke cawangan LHDNM berdekatan atau menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 bagi mendapatkan pengesahan. Mereka yang menerima panggilan seperti itu juga membuat semakan kedudukan lejar cukai melalui aplikasi e-lejar : https://ez.hasil.gov.my/ci/Login.aspx?page=06less untuk mendapatkan kepastian terlebih dahulu. Ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan demi memastikan diri tidak menjadi mangsa penipuan. Seperti peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Justeru, jangan menunding jari kepada pihak lain jika menjadi mangsa apabila diri sendiri tiada inisiatif untuk bertindak bijak supaya tidak menjadi mangsa Macau Scam. ----- Rencana 2 Tajuk: Manfaatkan E-Lejar LHDNM Elak Tertipu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah melancarkan aplikasi e-Lejar sejak tahun 2010. E-Lejar adalah satu kemudahan yang disediakan kepada pembayar cukai untuk pelbagai urusan. Pertama, menentukan sama ada butiran peribadi seperti alamat dan nombor akaun bank direkodkan dengan betul. Kedua, menyemak transaksi percukaian seperti taksiran cukai, bayaran cukai dan pembayaran balik cukai terkini. Antaranya pengesahan Potongan Cukai Bulanan (PCB) oleh majikan telah diterima dan diakaunkan oleh LHDNM. Begitu juga taksiran cukai melalui aplikasi e-Filing LHDNM sama ada telah dikemaskini dalam lejar. Terdapat dua jenis lejar yang dipaparkan dalam e-Lejar iaitu Lejar Cukai Pendapatan (CP) melibatkan Akaun 1 dan Akaun 2 serta Lajer Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT). Akaun 1 Lajer Lejar CP memaparkan transaksi percukaian dan dikemaskini dalam lejar pembayar cukai. Baki akhir dalam akaun 1 adalah baki semasa pembayar cukai . Baki semasa ini menentukan sama ada pembayar cukai masih mempunyai cukai tertunggak dengan LHDNM. Akaun 2 Lejar CP menunjukkan transaksi bayaran ansuran cukai seperti bayaran PCB yang telah dibuat. Baki dalam akaun 2 adalah jumlah bayaran ansuran yang masih belum boleh digunakan. Lejar CKHT pula memaparkan transaksi Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) Rumusan disebalik kewujudan e-Lejar adalah tiada siapa dengan mudah perlu menjadi mangsa scammer. Jika anda didakwa mempunyai cukai tertunggak maka segera melakukan semakan melalui aplikasi ini. Isu yang timbul cumalah sama ada kita menyedari kewujudan e-Lejar ini atau kita sememangnya malas ambil peduli. --- Rencana 3 Tajuk: Kem Cerdik Cukai Tingkat Kesedaran Generasi Muda Kem Cerdik Cukai yang mula diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada tahun 2011 terbukti berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah untuk membayar cukai. Sebagai contoh, pada tahun 2017 sekitar 3.615 juta pembayar cukai individu yang dkategorikan sebagai belia telah menjalankan tanggungjawab untuk mendaftar sebagai pembayar cukai pendapatan. Angka itu menunjukkan peningkatan ketara iaitu hampir 30,00 pembayar cukai baharu dalam kalangan belia berbanding tahun 2016 sekitar 3.585 juta dan 2015 sekitar 3.553 juta. Kem Cerdik Cukai merupakan suatu program pendedahan awal mengenai cukai oleh LHDNM kepada generasi muda termasuk dalam kalangan pelajar sekolah tentang kepentingan cukai dalam usaha membangunkan negara. Melalui program berkenaan, generasi muda juga dididik tentang tanggungjawab membayar cukai sebagai suatu yang bersifat patriotik dan cinta terhadap tanah air. Generasi pewaris negara perlu difahamkan tentang kepentingan cukai bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan sekali gus menyokong usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Justeru, insiatif LHDNM mengadakan program Kem Cerdik Cukai wajar diberi pujian dan seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pihak sekolah demi masa depan negara yang gemilang. Seperti peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, maka mendidik anak bangsa tentang tanggungjawab kepada negara perlulah ketika mereka masih berusia muda. Seperti sering diperkatakan Pembayar Cukai Wira Negara kerana merelakan kerajaan mengambil peratusan kecil daripada pendapatan mereka demi masa depan negara. Hasil cukai diperoleh kerajaan daripada cukai dikenakan itu yang digunakan untuk mentadbir dan menguruskan negara dalam bentuk bajet tahunan. Mentadbir dan menguruskan aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan, pembangunan dan segala-galanya yang diperlukan untuk kemakmuran Malaysia. Tanpa hasil cukai sesebuah negara tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk menjamin keselamatan, kesihatan, pendidikan mahupun pembangunannya. Perbelanjaan untuk sekolah, hospital, klinik kesihatan, jalan raya, balai polis, balai bomba dan segalanya-galanya adalah hasil daripada cukai. Sumber cukai juga digunakan untuk membantu hidup rakyat melalui bantuan subsidi ke atas barangan keperluan seperti minyak dan bahan makanan asas. Pembangunan yang dilaksanakan menggunakan hasil cukai pula dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi. Hasil cukai juga membolehkan kerajaan memodenkan lagi negara kita sekaligus menggalakkan pelaburan asing yang sangat penting untuk sesebuah negara. --- Rencana 4 Tajuk: ByrHASIL Permudahkan Pembayaran Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melaporkan sehingga 30 April lalu seramai 912,418 pembayar cukai menggunakan ByrHASIL FPX. Manakala seramai 30,517 lagi pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka melalui ByrHASIL Kad Kredit. Angka tersebut suatu perkembangan yang menggalakkan dalam Malaysia menuju kepada sebuah negara berasaskan teknologi tanpa tunai. Sejak bermulanya pandemik, lebih separuh daripada pengguna Asia Tenggara telah mengurangkan kekerapan penggunaan wang tunai. Kajian 'Consumer Payment Attitudes Study 2022 : Navigating A New Era In Payments' mendapati sikap ini diterajui pengguna di Singapura (97 peratus), Malaysia (96 peratus), Indonesia (95 peratus) dan Vietnam (95 peratus) Antara kelebihan transaksi dalam tunai adalah menjimatkan masa sekali gus mengurangkan "idle time" dan meningkatkan produktiviti negara. Ia lebih selamat kerana tidak perlu khuatir terhadap insiden rompakan atau keciciran wang dan lebih mudah diuruskan serta kurang risiko kesalahan. Justeru bagi yang belum mengetahui, ByrHASIL adalah aplikasi elektronik untuk pembayaran cukai pendapatan melalui bank-bank yang dilantik. Salah satu perkhidmatan itu adalah menggunakan FPX sebagai Gateway untuk pengguna membayar cukai mereka. Pengguna perlu mempunyai akaun perbankan elektronik dengan mana - mana bank yang menyertai FPX untuk mengggunakan perkhidmatan ByrHASIL. Kedua adalah pembayaran cukai melalui ByrHASIL menggunakan kad kredit secara dalam talian di https://byrhasil.hasil.gov.my/creditcard Perkhidmatan ini boleh digunakan untuk semua kad kredit/debit VISA, Mastercard dan American Express yang dikeluarkan di Malaysia. Bayaran Cukai Pendapatan melalui Kad Kredit boleh dilakukan di portal ByrHASIL dari pukul 12 am hingga 10:59 pm setiap hari. Perkhidmatan itu bagaimanapun akan ditutup dari 11:00 pm hingga 11:59 pm setiap hari bagi tujuan penyenggaraan sistem. Bagi mengetahui senarai bank terlibat untuk perkhidmatan ByrHASiL boleh klik ke pautan berikut http://www.paynet.my/fpx/banks-tpa.html. Usah terlalu bimbang akan berlaku kegagalan semasa menggunakan aplikasi elektronik ByrHASIL. LHDNM akan menguruskan pembayaran balik ke akaun pembayar cukai dengan kerjasama PayNet dan bank pembayar cukai. --- Rencana 5 Tajuk: Pembayar Cukai Kali Pertama Dan Sijil Digital Setiap tahun akan ada golongan muda memasuki alam pekerjaan atau perniagaan sama ada dalam kalangan graduan universiti mahupun lepasan sekolah. Berkat rezeki oleh Yang Maha Esa didorong dengan kesungguhan dan kerajinan sebahagiannya akan memperoleh pendapatan yang cukup baik dalam apa jua bidang mereka ceburi. Ini bermaksud sebahagian golongan muda yang telah melangkah ke alam pekerjaan atau perniagaan akan layak dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Kepada mereka yang pertama kali perlu membayar cukai pendapatan usah risau kerana jumlah cukai yang dikenakan oleh LHDNM sama sekali tidak akan merugikan anda. Sebaliknya ia digunakan untuk menampung perbelanjaan yang sedang anda nikmati sebagai rakyat Malaysia ketika ini termasuk kesihatan, pendidikan, keselamatan dan segala-galanya. Justeru, dalam era teknologi makliumat perkara yang paling sinonim sebagai pembayar cukai kali pertama yang perlu anda ketahui adalah tentang Sijil Digital atau No. Pin. Ia digunakan untuk mengesahkan identiti atau membolehkan pengguna memperolehi hak untuk mendapatkan maklumat serta melakukan transaksi secara dalam talian sistem ezHASiL. Ia umpama kad pengenalan atau MyKad khas yang diberi secara percuma oleh LHDNM untuk memudahkan anda menguruskan urusan percukaian anda dengan LHDNM secara dalam talian. Secara umum Sijil Digital digunakan bagi mengesahkan capaian pengguna untuk menggunakan e-Filing dan menandatangani Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara dalam talian. Cara untuk mendapatkan Sijil Digital atau No. PIN bagi individu adalah adalah dengan hadir ke cawangan LHDNM berhampiran anda. Manakala permohonan untuk No. PIN e-Filing Organisasi melalui Cawangan LHDNM/Pusat Transformasi Bandar (UTC)/Pusat Khidmat Hasil (PKH). Apa yang perlu anda lakukan selepas memperoleh Sijil Digital atau No. PIN adalah seperti berikut: - Log masuk ke https://mytax.hasil.gov.my/ laman web ezHASiL. Masukkan No. Pengenalan dan Kata Laluan. - Pilih PerkhidmatanezHASiL -> e-Filing -> e-Borang. Pilih e-borang yang dikehendaki. - Tandatangan menggunakan Sijil Digital dan hantar secara dalam talian. - Cetak pengesahan penerimaan e-Borang. Jangan bimbang mengenai keselamatan teknologi Sijil Digital ini kerana menurut LHDNM secara teorinya untuk memecahkan kekunci 2048 bit pada sistem itu akan mengambil masa selama 3,000,000 tahun. --- Rencana 6 Tajuk: Percukaian Elemen Penting Pulihkan Negara Pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap ekonomi dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Nilai mata wang menyusut dan begitu juga kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Antara sektor paling terjejas teruk pelancongan, pengangkutan peruncitan, perhotelan dan hiburan. Kemorosotan ekonomi dilapor mencatat prestasi terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1998. Untuk rekod nisbah cukai langsung kepada KDNK Malaysia berada pada aliran menurun sejak 2019. Iaitu pada 9.5 peratus atau 1.7 mata lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Untuk bangkit daripada kesan bencana ini sudah tentu Malaysia memerlukan kekuatan kewangan. Mahu tidak mahu aspek percukaian adalah elemen terpenting untuk menjayakan misi itu. Menarik kembali pelaburan langsung asing dan menjana semula pekerjaan berkait cukai. Dengan hasil cukai pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara. Sebab itu kita harus berterima kasih kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Bertungkus-lumus mahu mencapai sasaran dalam usaha memperbaiki kedudukan ekonomi Malaysia. Unjuran hasil daripada cukai langsung adalah kira-kira RM139.3 bilion menjelang 2022. Anggaran hasil itu diunjurkan daripada kutipan kasar cukai langsung secara keseluruhan. Termasuk cukai korporat, petroleum, individu dan lain-lain, sebelum tuntutan bayaran balik Meskipun ia realistik, namun pastinya mendambakan kesungguhan LHDNM. Kesimpulannya, percukaian adalah amat penting bagi membantu pembangunan negara. Lebih-lebih lagi dalan membangunkan semula negara pasca pandemik Covid-19. Justeru, setiap warganegara yang dikategorikan sebagai pembayar cukai harus memainkan peranan. Meyakini keperluan membayar cukai sebagai anasir patriotik diri untuk mempertahankan tanah air. --- Rencana 7 Tajuk: Apa Jadi Pada Lebihan Atau Tunggakan Cukai Individu Meninggal Dunia? Barangkali masih ada yang kurang pasti apakah akan terjadi kepada tunggakan cukai atau lebihan cukai individu yang telah meninggal dunia. Sebenarnya persoalan sama ada ia dilupus kira atau sebaliknya pernah diperjelaskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Justeru, artikel ini bagi membantu mana-mana anggota masyarakat yang mungkin terlepas pandang penjelasan berkenaan perkara itu sebelum ini. Pertama adalah berhubung kedudukan lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati iaitu si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya. Lebihan cukai ini boleh dituntut secara rasmi daripada LHDNM oleh waris si mati melalui beberapa proses yang amat mudah dan tidak membebankan. Waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan Salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) Dokumen ini namun mesti diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan dan profesional. Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk rangka kerja pungutan cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja. Pertama adalah berhubung kedudukan cukai tertunggak oleh si mati iaitu si mati belum menjelaskan sepenuhnya atau sebahagian cukai yang dikenakan terhadapnya oleh LHDNM. Berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967, sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati terrmasuklah pengurusan cukai si mati. Waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Taksiran cukai dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian dan taksiran itu akan dibuat atas nama waris yang sah. Sebarang pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati. Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama Waris Sah atau Pentadbir Harta Pusaka. Satu fail baru akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka pusaka si mati dan kadar cukai dikenakan sama dengan kadar cukai dikenakan atas seseorang individu. Kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967. Bagaimanapun, jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus, mereka boleh memohon untuk membuat bayaran secara ansuran. Semoga artikel ulang siar ini sedikit sebanyak membantu pemahaman anda tentang perkara ini. --- Rencana 8 Tajuk: HASiL Your Tax Buddy Bina Kesedaran Golongan Belia Sebilangan masyarakat di luar negara memiliki stigma terhadap mereka yang enggan membayar cukai pendapatan. Mereka itu dianggap sebagai penipu malah sehingga ke tahap dianggap sebagai pembelot kepada masyarakat dan negara. Masyarakat sedemikian amat sensitif tentang kepentingan percukaian kepada masa depan negara. Mereka tahu cukai pendapatan adalah eleman yang sangat penting, maka perlakuan pengelat cukai dilabelkan sebagai terkutuk. Buat masa ini stigma masyarakat Malaysia tidak terlihat seperti itu, namun tahap kesedaran tentang kepentingan cukai semakin meningkat. Pada tahun lalu laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDNM) telah dilawati sebanyak 26,883,232 kali oleh orang ramai. Ini menunjukkan walaupun tidak terlihat secara harfiah, bahawa masyarakat Malaysia mengambil peduli tentang urusan percukaian. Laman web LHDNM dilawati 26,883,232 kali berbanding jumlah 32 juta rakyat Malaysia adalah perbandingan yang menarik. Ini juga menunjukkan bahawa pelbagai inisiatif oleh LHDNM bagi meningkatkan kesedaran anggota masyarakat amat progresif. Termasuk program libat urus melibatkan aspek kesedaran pada peringkat di punca iaitu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Antaranya HASiL Your Tax Buddy (HYTB) yang melibat urus pelajar dalam "Building Sustainable Future Together" Melalui HYTB, pelajar dilantik sebagai Duta HYTB merupakan rakan kongsi bersama LHDNM dalam edaran informasi percukaian dalam kalangan pelajar. HYTB bertujuan menerapkan nilai kebertanggungjawab dalam pembangunan negara dan seterusnya memupuk pematuhan cukai secara sukarela. Begitu juga bagi mencapai objektif mewujudkan kesedaran awal dalam kalangan generasi belia tentang kepentingan cukai terhadap pembangunan negara. Aktiviti yang dijalankan semasa HYTB termasuk Taklimat Percukaian, Hasil Taxplorace, Hasil Tiktok Challenge dan Pelantikan Duta Hasil. Langkah yang bijak menyasarkan kesedaran dalam kalangan belia khususnya pelajar IPT yang akan menjadi pembayar cukai selepas tamat pengajian. ---